Kota Kinabalu: Jabatan Hal Ehwal Wanita (Jhewa) Sabah akan menganjurkan tiga program utama sepanjang November ini yang menumpu kepada bidang keusahawanan, kepimpinan dan kesedaran undang-undang, membabitkan lebih 2,000 wanita dari seluruh negeri.
Pengarah Jhewa, Haslina Ismail berkata pelaksanaan program berkenaan bertujuan memperkasa wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat agar mereka berilmu, berdikari, memahami hak dalam konteks undang-undang serta berperanan aktif dalam pembangunan komuniti.
“Program Keusahawanan Jhewanita yang dijadualkan pada 18 November akan disertai kira-kira 500 peserta wanita dengan fokus kepada pembangunan keusahawanan melalui sesi perkongsian ilmu, pendedahan dan interaksi bersama pelbagai agensi berkaitan.
“Selain itu, Program Pemerkasaan NGO Wanita Sabah pada 20 November dijangka menghimpunkan 1,000 peserta daripada pelbagai pertubuhan wanita di seluruh negeri.
“Program ini menekankan latihan pengurusan organisasi, tatacara protokol dan kepimpinan agar NGO wanita di Sabah lebih efisien dan berdaya saing.
“Sementara itu, Program Wanita Peka Undang-Undang pada 27 November akan memberi tumpuan kepada peningkatan kefahaman wanita terhadap hak perundangan, keselamatan diri serta perlindungan daripada keganasan dan diskriminasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin, pada Rabu.
Kunjungan itu bertujuan memaklumkan perkembangan terkini Program Glow at Sabah, hasil inisiatif Jhewa bersama Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang memberi tumpuan kepada pembangunan wanita berpotensi tinggi dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kepimpinan.
“Melalui Glow at Sabah, kita ingin melahirkan wanita Sabah yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan ekonomi, tetapi juga berjiwa kepimpinan.
“Fokus utama ialah memperkasa wanita daripada pelbagai latar belakang seperti ibu tunggal, golongan B40, usahawan dan pemimpin NGO agar mereka lebih berkeyakinan, berpengetahuan serta mampu menjadi ejen perubahan dalam masyarakat,” katanya.