KOTA BELUD: Sebanyak RM1 juta diperuntukkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) untuk menyelenggara Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) di lima kampung di daerah ini, kata penyandang Adun Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berkata ia bertujuan bagi meningkatkan kemudahan asas pertanian yang melibatkan tiga kampung di Kadamaian iaitu Nahaba, Tambulion dan Talungan.
Dua lagi daripada projek itu melibatkan kampung di Dun Tempasuk (Kampung Kalibungan) dan Dun Pintasan (Kampung Dudar Ulu).
“Peruntukan ini penting untuk memudahkan urusan pengangkutan hasil sawit oleh pekebun kecil serta menjamin kelancaran aktiviti ekonomi setempat.
“Di peringkat Kuskop kita juga bekerjasama untuk membantu koperasi-koperasi yang terlibat dalam sektor perladangan/
“Sebagai contoh, Kuskop melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyalurkan geran pembangunan sebanyak RM69,000 kepada Koperasi Pekebun Kecil Sawit Mampan Kota Belud bagi menaik taraf kemudahan di pusat timbangan sawit di Kampung Rosok,” katanya selepas Program Santuni Pekebun Kecil Sawit dan Koko di Dewan Gopog, Taginambur, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin, Penyelaras Negeri Sabah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Amran Arifin serta Pengarah Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengembangan Lembaga Koko Malaysia, Abdul Karim Che Hamid.
Pads majlis itu, Ewon turut menerima taklimat daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM) mengenai pelbagai inisiatif termasuk penubuhan koperasi pekebun kecil sawit mampan dan koperasi kluster koko.
Selain itu, beliau juga menyampaikan beberapa anugerah pekebun kecil sawit dan koko cemerlang serta sijil Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada pekebun kecil di daerah ini.