SEPANGGAR: Perikatan Nasional (PN) dijangka bertanding di 40 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan berlangsung pada 29 Nov ini, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, pembahagian kerusi antara parti komponen PN akan diumumkan pada 11 Nov, selepas proses semakan dan pengesahan calon selesai dibuat.
“Kami masih meneliti semua nama yang dicadangkan untuk kelulusan. Dalam PAS, kita ada Majlis Syura yang akan menilai calon-calon kita.
“Dalam Perikatan Nasional pula, setiap calon perlu menandatangani ‘akujanji’ sebelum watikah diberikan kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan jentera pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Karambunai, di sini, Sabtu.
Tuan Ibrahim turut mengulas mengenai sentimen “Sabah for Sabahans” yang dibawa parti-parti tempatan, dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang normal dan tidak akan menjejaskan sokongan terhadap parti nasional.
“Sentimen itu biasa saja, sama seperti slogan ‘Bangsa Johor’ di Johor atau ‘Gagasan Terengganu Kita’ di Terengganu. Ia tidak akan menjejaskan sokongan rakyat Sabah kepada parti nasional, khususnya PN, kerana kehadiran parti nasional di Sabah sudah lama diterima.
“Sejarah Sabah juga berbeza kerana sejak awal lagi wujud Barisan Nasional (BN), dan selepas itu PN yang terdiri daripada PAS, Bersatu dan Gerakan.
“Kami yakin kali ini pengundi Sabah akan memilih PN, kerana walaupun Presiden parti berasal dari Semenanjung, semua pemimpin PN di Sabah adalah anak tempatan,” katanya.
Menurut beliau, tumpuan utama PN ketika ini adalah memperkukuh kerjasama antara parti komponennya sebelum mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama dengan parti lain selepas keputusan PRN diumumkan.
“Yang penting sekarang ialah kita menang di bawah tiket PN. Soal pakatan atau kerjasama lain tidak dalam perancangan ketika ini. Kami akan turun sepenuhnya dengan kekuatan PN,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kemelut dalaman Bersatu tidak akan menjejaskan kekuatan jentera PN dalam menghadapi PRN Sabah.
Turut hadir, Pengarah Pilihan Raya PAS Sabah Tan Sri Annuar Musa dan Pesuruhjaya PAS Sabah Datuk Dr Aliakbar Gulasan, yang dijangka menjadi calon PN bagi kerusi Karambunai.