TAWAU: Polis menangkap seorang remaja lelaki disyaki memukul ibu kandung dan adik-beradiknya sehingga cedera dalam kejadian di Kampung Titingan pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek berusia berumur 19 tahun terbabit ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) di kampung berkenaan.
“Laporan polis terhadap suspek dibuat oleh ibu kandungnya sendiri untuk tindakan lanjut akibat berasa bimbang dengan keselamatan mereka sekeluarga.
“Mengikut laporan polis anak lelaki pengadu dikatakan mengamuk secara tiba-tiba sebelum menumbuk dinding sehingga berlubang yang kemudianya menyerang ibu dan adik-beradik yang lain.
“Tindakan suspek yang memukul ibu dan adik-beradiknya itu dikatakan menyebabkan mangsa-mangsa terpaksa menanggung kecederaan pada fizikal masing-masing,” katanya kepada kepada media pada Ahad.
Mengulas lanjut Jasmin menyatakan pihak polis seterusnya menjalankan gerakan memburu dan mengesan suspek selepas menerima laporan polis daripada ibunya sebelum berjaya menangkap remaja terbabit yang kemudianya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (dengan sengaja menyebabkan kecederaan), Seksyen 427 kanun yang sama (melakukan khianat hingga menyebabkan kerosakan harta benda) dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Perintah Pelindungan dan peruntukan jenayah dalam Kanun Keseksaan).