Kota Kinabalu: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (Satta) berharap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mendapatkan lebih banyak peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan tidak terlalu bergantung kepada pemain industri tempatan.
Menjelang Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 bulan ini, Satta berharap kerajaan baharu akan meneliti semula fi lesen hotel DBKK agar lebih munasabah.
Pengerusinya, Datuk Seri Winston Liaw, membuat gesaan itu kerana sudah hampir setahun DBKK menguatkuasakan semula fi lesen hotel di bawah Undang-undang Kecil (Hotel dan Rumah Lojing) 1966, yang dianggap membebankan pengusaha hotel.
Bagi mengurangkan tekanan kepada industri, Liaw menggesa DBKK mempertimbangkan penurunan fi lesen berkenaan.
Di bawah kadar baharu yang dikuatkuasakan pada 1 Jan 2025, hotel Kelas 1 dikenakan caj RM4.65, Kelas 2 (RM2.65) dan Kelas 3 (RM1.30), berdasarkan bilik berpenghuni setiap hari. Tiada caj dikenakan bagi bilik yang tidak berpenghuni.
“Kadar yang diperkenalkan semula ini menyebabkan ramai pengusaha hotel memindahkan kos tambahan kepada pelancong, sekali gus menjejaskan pertumbuhan sektor pelancongan di Kota Kinabalu,” katanya.
Sebelum ini, pengusaha hotel hanya perlu membayar fi lesen tetap sebanyak RM10 bagi setiap bilik setahun tanpa mengira kategori, katanya.
“Berdasarkan pengiraan, struktur fi baharu ini mewakili peningkatan sebanyak 10,000 peratus.
“Bagi sebuah hotel lima bintang dengan 500 bilik dan kadar penghunian purata 60 peratus, jumlah yang perlu dibayar bagi pembaharuan lesen mencecah setengah juta ringgit, berbanding hanya RM5,000 sebelum ini,” jelasnya.
Bagi pengusaha hotel bajet dengan 50 bilik, fi lesen meningkat daripada RM500 kepada RM14,000, katanya.
Liaw menambah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, apabila lebih banyak penerbangan terus masuk ke Tawau dan menarik pelancong ke Semporna, Kota Kinabalu mengalami penurunan ketara dalam ketibaan pelancong.
Pertumbuhan pelancongan di kawasan pantai barat, termasuk Kota Kinabalu, Kota Belud, Kudat dan Papar turut merosot, manakala kawasan pedalaman seperti Tambunan, Keningau dan Tenom juga mengalami kemerosotan pengunjung.
Pada masa sama, katanya, peningkatan jumlah pelancong ke Tawau dan Semporna turut memberi tekanan kepada industri pelancongan di pantai timur kerana infrastruktur pelancong yang masih tidak mencukupi.
Selain itu, katanya, tahap kebersihan yang rendah di Semporna turut mencacatkan imej destinasi pelancongan di daerah itu.
“Maklum balas daripada pelancong China yang melawat Semporna menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap tahap kebersihan di sana. Saya berharap Majlis Daerah Semporna dapat lebih proaktif dalam menjaga kebersihan kawasan berkenaan,” katanya.