Kota Kinabalu: Seorang pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina didakwa di Mahkamah Majistret pada Rabu atas tuduhan memiliki dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain.
Asbi Madani, 35, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan memiliki MyKad atas nama Marwan Afnan Musa bernombor siri 920918-12-5483 pada jam 7.30 malam, 17 Oktober tahun ini di Kampung Air.
Asbi turut dituduh menggunakan kad pengenalan tersebut yang dipercayai milik individu lain satu kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Inspektor Yusri Basri memohon tarikh sebutan baharu dan membantah jaminan atas alasan tertuduh tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Mahkamah menetapkan 12 Januari tahun depan untuk pengurusan pra-perbicaraan dan memerintahkan Asbi terus direman.
Dalam kes berasingan seorang buruh didakwa kerana dengan tidak jujur menyebabkan pelupusan sebuah kereta milik orang lain.
Md Shazwan Arman, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan tidak jujur menyebabkan dua individu yang tidak dikenali melupuskan sebuah kereta jenis Proton Iswara milik Jurmadil Ureh pada 9 September 2024 di Kampung Rampayan Tobur, Manggatal.
Menurut pertuduhan kenderaan tersebut sepatutnya dibaiki dengan bayaran sebanyak RM800 namun didakwa telah dipotong menjadi beberapa bahagian.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.
Inspektor Yusri memohon tarikh sebutan kes dan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin.
Bagaimanapun peguam bela bertugas Lim Ming Zoong memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin, mempunyai dua anak dan bekerja sebagai buruh.
Mahkamah menetapkan 12 Januari tahun depan untuk pengurusan pra-perbicaraan dan membenarkan jaminan sebanyak RM1,500 dengan dua penjamin.