SANDAKAN: Seramai 30,768 pekebun kecil di Sabah memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga 15 Oktober lepas.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata ia melibatkan keluasan 191,517.96 hektar mewakili 96.09 peratus kadar pensijilan di negeri ini.
Untuk Sandakan sahaja, seramai 1,025 pekebun kecil di bawah kelompok penanam sawit mampan (SPOC) S22 menerusi sijil meliputi 7,384.2454 hektar manakala 701 SPOC S23 menerima sijil itu membabitkan 4,678.0988 hektar.
Kerajaan telah memperuntukkan dana RM100 juta untuk Skim Insentif Pembiayaan TSPKS 2.0 bagi kerja-kerja penanaman semula sawit. Geran padanan ini disalurkan kepada pekebun kecil persendirian ini yang diurus sepenuhnya oleh Agrobank.
Sehingga kini, sebanyak 796 permohonan telah diluluskan di bawah TSPKS 2.0 di Sabah, meliputi 3,420.04 hektar membabitkan peruntukan berjumlah RM61,560,637.20.
Di Sandakan sahaja, sebanyak 34 permohonan telah diluluskan meliputi 155.76 hektar yang membabitkan pembiayaan RM2,803,633.20.
Chan berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Santuni Pekebun Kecil Sawit Sandakan anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Dewan Serbaguna Gum-Gum, Batu 16, di sini pada Rabu.
Program itu bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai pensijilan MSPO dan juga insentif-insentif kerajaan kepada pekebun kecil.
Pelaksanaan MSPO bukan sekadar berupaya meningkatkan penerimaan pasaran global tetapi juga memberi banyak manfaat kepada pekebun kecil menerusi pengurusan Amalan Pertanian Baik (GAP), penjagaan alam sekitar, serta peningkatan kualiti hasil yang akhirnya membawa kepada peningkatan pendapatan.
Chan berkata, menerusi Belanjawan Madani 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan memperuntukkan RM120 juta bagi 2026 untuk menyokong dan memperkasa pekebun kecil komoditi negara termasuk sawit, getah, koko, lada dan kenaf.
Peruntukan tepat pada masanya itu akan membantu menampung sebahagian kos penanaman semula pokok sawit bagi menggantikan pokok-pokok tua yang kurang produktif, memastikan kelangsungan hasil dan kemampanan sektor sawit negara.
Sementara itu, Penyelaras MPOB Sabah Amran Arifin berkata agensi itu terus komited membangun industri sawit negara.
Katany, pensijilan MSPO penting dalam memastikan minyak sawit yang dieksport ke luar negara adalah berkualiti dan menggalakan penyertaan SPOC kelompok, dengan Sabah ketika ini mempunyai 29 SPOC.