Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 32 tahun didenda RM3,800 atau lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini kerana membantu melupuskan barang kemas curi.
Mohammed Rafzajani Abdul Salam mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana melupuskan dua cincin emas curi kepunyaan Muhaimin Mohd Sulaiman pada jam 9.09 pagi, 7 Jun tahun ini di sebuah premis di Kompleks Sinsuran.
Pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut Pegawai Pendakwa Inspektor Yusdi Basri, pengadu menyedari barang kemasnya hilang dari dalam kereta yang diletakkan di kawasan parkir berbayar berhampiran Masjid Negeri, Wisma Muis selepas menunaikan solat sunat Aidiladha.
Apabila kembali ke kenderaannya selepas solat, pengadu mendapati cermin tingkap penumpang hadapan dipecahkan dan beberapa barangan peribadi termasuk barang kemas telah hilang.
Rafzajani ditangkap polis di kawasan Sadong Jaya pada 8 Jun dan polis turut mendapati Rafzani memiliki resit pajak gadai berkaitan barang kemas milik pengadu yang hilang.
Dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 27 tahun didenda berjumlah RM200 atas dua pertuduhan gagal menjelaskan deposit wang tunai berjumlah RM5,380 dalam akaun banknya, dua tahun lalu.
Lee Li Pui Latif mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus kerana gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung cara dia memperoleh wang itu, yang telah dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Pertuduhan menyatakan bahawa Lee didapati mempunyai wang sebanyak RM3,520 dan RM1,860 milik seseorang bernama Gillian Lo dalam akaun Maybank miliknya masing-masing pada jam 5.10 petang dan 5.35 petang, 10 Jan 2023.
Lee diperintahkan membayar denda RM100 atau lapan minggu penjara bagi setiap pertuduhan.
Kesalahan di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil itu memperuntukkan denda RM100 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah mengendalikan pendakwaan.