MENUMBOK: Penyandang kerusi Kuala Penyu Datuk Limus Jury menafikan membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkaitan kenaikan tambang bot laju Menumbok-Labuan.
Sebaliknya katanya, beliau sebenarnya meminta semakan dibuat KPDN bagi memudahkan semua pengusaha bot laju mendapatkan subsidi petrol 95 agar tambang dapat diturunkan semula.
“Menteri KPDN (Datuk Armizan Mohd Ali) ada menghubungi saya, baru-baru ini dan beliau bersedia membantu untuk meluluskan pemberian subsidi RON95 kepada pengusaha bot terlibat.
“Kita bersyukur kerana jaminan ini akan memberi manfaat bukan saja kepada pengusaha bot tetapi juga pengguna yang terbeban oleh kenaikan tambang sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Buku Pembangunan Strategik Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, pada Khamis.
Advertisement





