Kota Kinabalu: Seorang warga Filipina dijatuhi hukuman penjara setahun kerana tinggal di negeri ini selepas dokumen perjalanannya tamat tempoh.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya.
Tertuduh ditangkap di Sipitang dalam satu operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen baru-baru ini dan dia telah mengemukakan dokumen perjalanan yang didapati telah tamat tempoh selama bertahun-tahun.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang memperuntukan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan tertuduh merayu agar hukuman diringankan dengan alasan dia ingin pulang ke kampung halamannya secepat mungkin dan memohon agar tempoh penjara diambil kira dari tarikh dia ditangkap.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkapan.
Dalam satu kes berasingan dua lagi warga Filipina masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen.
Kedua-dua mereka ditangkap dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen juga di Sipitang baru-baru ini selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri kepada pihak berkuasa.
Selepas tamat menjalani hukuman penjara ketiga-tiga warga Filipina itu diperintahkan untuk dirujuk kepada Jabatan Imigresen bagi tujuan pengusiran.
Pegawai Pendakwa Baxter Junior Goh daripada Jabatan Imigresen mengendalikan pendakwaan.