Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Filipina berusia 31 tahun dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret pada Rabu kerana menyerang rakan senegaranya berhubung hutang emas yang belum dibayar.
Pekerja buruh Al Raffy Ibnohashim mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki bernama Asfandyar pada 19 Ogos tahun ini kira-kira jam 9 malam di belakang kedai MR DIY di pekan Inanam.
Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh memaklumkan mahkamah bahawa kejadian itu berpunca daripada pertikaian mengenai jual beli emas bernilai RM4,200.
Asfandyar dikatakan telah menjual emas kepada isteri Raffy yang bersetuju secara lisan untuk membayar balik jumlah itu secara ansuran harian sebanyak RM20.
Namun tiada bayaran dibuat sejak Januari menyebabkan Asfandyar bersemuka dengan Raffy pada tarikh dan tempat kejadian tersebut. Semasa konfrontasi itu Raffy menumbuk mata kanan Asfandyar sehingga lebam dan memukul bahu kanannya menggunakan topi keledar motosikal.
Dia kemudian mengugut mangsa supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada polis dan memberi amaran akan mencarinya jika berbuat demikian.
Kerana takut Asfandyar melarikan diri dan membuat laporan polis di Balai Polis Inanam.
Bertindak atas laporan itu polis Inanam menahan Raffy untuk siasatan lanjut.
Raffy didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Raffy menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapanya dan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas itu.
Sementara itu di mahkamah berasingan lima lelaki didenda kerana memiliki dadah jenis syabu.
Asbil Mokhtar, Latipo Abd Halim, Gain Asmad, Epi Omar dan Azman Zaidi masing-masing mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan memiliki syabu seberat antara 0.03 gram hingga 0.04 gram.
Gain dan Epi masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan manakala tiga yang lain masing-masing dipenjara lapan bulan.
Mereka semua didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Inspektor Yusdi Basri.