Kota Kinabalu: Lebih 445,000 lesen Google Cloud dan Gemini percuma disediakan buat penjawat awam di seluruh negara sehingga tahun 2028 sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh penerapan Kecerdasan Buatan (AI) serta kemahiran digital dalam sektor awam.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata inisiatif berkenaan turut merangkumi latihan Microsoft untuk 800,000 peserta selain kursus dalam talian percuma bertajuk AI for the People dan Introduction to Generative AI yang kini diwajibkan kepada semua penjawat awam di bawah program peningkatan kemahiran digital kerajaan.
“Inisiatif ini bertujuan memperkasakan penjawat awam dengan pengetahuan dan alat praktikal untuk menggunakan AI bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kualiti membuat keputusan sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) serta kerangka Ekonomi Madani.
“Sektor perkhidmatan awam dikenal pasti sebagai pemangkin utama dalam menjadikan Malaysia sebuah negara digital melalui penerapan teknologi AI.
“Tinjauan GovTech Skills Survey 2025 oleh Bank Dunia mendapati penggunaan alat AI generatif telah menjimatkan purata 2.5 jam waktu bekerja setiap hari dalam kalangan penjawat awam,” katanya semasa Majlis Pelancaran Digital@Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) baru-baru ini.
Bertemakan Rise of AI: Powering a Smarter Future program berkenaan dianjurkan bersama oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pejabat Kementerian Digital Sabah yang menghimpunkan agensi kerajaan, sektor swasta dan ahli akademik untuk meneroka bagaimana AI dapat memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta merangsang inovasi dalam pelbagai industri.
Dalam pada itu Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor dalam ucapan alu-aluannya berkata program terbabit memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta bagi memacu transformasi digital serta pembangunan kapasiti teknologi di Sabah.
Beliau berharap program tersebut dapat mencetuskan idea baharu, memperluas rangkaian profesional dan menggalakkan penggunaan AI secara beretika ke arah membina Sabah yang progresif mahupun mampan.
“UMS komited memperkukuh ekosistem digital melalui kolaborasi strategik, pendidikan berimpak tinggi dan penyelidikan yang memastikan kemajuan teknologi membawa manfaat menyeluruh kepada rakyat Sabah.
“Digital@Sabah berperanan sebagai platform kolaboratif yang menyatukan pelbagai sektor untuk berkongsi kepakaran dan memastikan pelaksanaan dasar digital yang seimbang serta berterusan,” katanya.
Kasim turut memaklumkan bahawa acara itu menyediakan forum, bengkel, pameran ICT dan sesi latihan digital bagi membantu peserta meneroka potensi AI dalam meningkatkan mutu perkhidmatan, memperluas akses kepada ilmu pengetahuan dan membina masyarakat digital yang inklusif.
Sementara itu Wilson berkata Pejabat AI Nasional (NAIO) kini sedang membangunkan Pelan Tindakan AI Negara 2030 sebagai pelan hala tuju utama bagi memandu ekosistem AI Malaysia di samping usaha memperkenalkan rangka perundangan AI pertama negara untuk memastikan penggunaan teknologi yang bertanggungjawab dan beretika.
Beliau mendedahkan bahawa penjawat awam di Sabah merupakan antara yang paling bersedia mengadaptasi AI berdasarkan Kajian Literasi AI yang dijalankan oleh pejabat kementeriannya bersama UMS yang mencatat skor 3.56 daripada 5.0 bagi tahap kesiapsiagaan.
“Ini menunjukan perkembangan yang amat menggalakan bagi Sabah dalam menuju pendigitalan perkhidmatan awam dan integrasi penyelesaian berasaskan AI selaras dengan matlamat Malaysia menjadi negara AI menjelang 2030,” katanya.
Beliau turut menggesa agar usaha berterusan dilakukan untuk membangunkan modal insan berkemahiran digital khususnya dalam kalangan belia Sabah supaya mereka menjadi pencipta dan inovator dalam ekonomi berasaskan AI, bukan sekadar pengguna.