TAWAU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Brigadier Jeneral (B) Tan Sri Liew Yun Fah, menafikan dakwaan bekas Timbalan Presiden, Datuk Rina Jainal, bahawa terdapat cubaan sabotaj terhadapnya bagi menghalang beliau mempertahankan kerusi Kukusan.
Katanya, beliau tidak mahu bercakap buruk tentang sesiapa, walaupun selepas Rina bertindak meletakkan jawatan dan keahlian parti susulan penggantungannya.
“Sepanjang beliau bersama PHRS, pernahkah beliau memakai baju parti, mengakui keahliannya atau jawatannya sebagai Timbalan Presiden? Penyokongnya tidak pernah menyokong PHRS,” katanya pada sidang media bersama calon GRS-PHRS Kukusan, Samsiah Usman, di pejabat PHRS di Taman King Fook, di sini, Jumaat.
Mengenai tarikh penggantungan Rina, yang hanya tiga hari sebelum hari penamaan calon walaupun keputusan jawatankuasa disiplin dibuat tahun lalu, Liew menjelaskan bahawa mereka sebenarnya memberi peluang kepadanya dan bukan terus memecatnya.
“Presiden parti lain mungkin terus memecatnya, tetapi saya menggantung beliau kerana masih mempertimbangkan perkara itu,” katanya.
Liew mengajak rakyat Kukusan memberi sokongan kepada calon GRS-PHRS, Samsiah Usman.
Katanya, walaupun PHRS merupakan “parti kecil dan miskin,” parti itu akan terus berusaha untuk membela dan menjaga kebajikan rakyat Kukusan secara menyeluruh.