PETAGAS: Isu banjir berulang, longkang tersumbat dan isu pengurusan sungai berulang perlu ditangani segera tegas calon Parti Warisan (Warisan) Dewan Undangan Negeri (Dun) Petagas Datuk Uda Sulai.
Beliau berkata penduduk di beberapa kampung kini berdepan keadaan semakin serius apabila hujan lebat selama beberapa jam sudah cukup menenggelami kawasan kediaman.
Menurutnya keadaan itu paling ketara di Kampung Ulu, Kampung Tobongon dan Kampung Ketiau yang kian kerap dilanda banjir berikutan paras Sungai Putatan yang kini lebih tinggi daripada kampung-kampung tersebut.
“Setiap kali hujan dua atau tiga jam air terus melimpah masuk ke rumah penduduk. Mereka sudah menderita berbulan-bulan,” katanya kepada media pada Isnin.
Uda menegaskan sekiranya Warisan diberi mandat kajian teknikal menyeluruh akan dilaksanakan bagi mengenal pasti penyelesaian jangka panjang yang berkesan.
“Kita tidak boleh biarkan keadaan ini berlarutan. Ia mesti diselesaikan secara betul dan kekal,” katanya.
Dalam perkembangan lain Uda menolak laporan tular sebuah stesen televisyen yang mendakwa beliau dan dua calon lain mempunyai pertalian keluarga.
Beliau menyifatkan laporan itu sebagai tidak benar dan perlu diperbetulkan kerana boleh mengelirukan pengundi.
“Ia langsung tidak benar. Saya tidak mahu pengundi Petagas keliru dengan sesuatu yang tidak berasas,” tegasnya.
Uda turut mempersoalkan tindakan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) menggunakan pusat operasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kampung Tombovo untuk aktiviti kempen.
Katanya tindakan itu menimbulkan persoalan kerana Upko sebelum ini mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
“Agak pelik apabila Upko menggunakan markas PKR sedangkan mereka sudah umum tidak bersama PH. Ia menimbulkan persoalan sama ada kerjasama itu masih wujud di belakang tabir,” katanya.
Petagas menyaksikan saingan paling sengit dalam sejarahnya dengan 10 calon merebut kerusi berkenaan.
Bagaimanapun Uda yakin Warisan mampu memenangi kerusi itu dengan mudah.
“Jika mahu memperbetulkan kerajaan, kita perlu tukar kerajaan. Kekal dengan kepimpinan sama hanya akan mengekalkan masalah yang sama,” katanya.
Beliau berkata visi dan misi lengkapnya untuk Petagas akan diumumkan dalam masa terdekat namun menegaskan komitmennya adalah terhadap hak Sabah termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih serta perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).