BEAUFORT: Pemerkasaan pertanian serta penternakan moden di bawah agenda Agro Hub menjadi antara tumpuan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Lumadan jika sekali lagi diberi mandat memenangi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Calon GRS yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata inisiatif itu merupakan salah satu daripada enam teras pembangunan utama yang terkandung dalam manifesto GRS Lumadan.
Pada masa sama katanya usaha berkenaan juga selari dengan aspirasi beliau bagi mengangkat ekonomi setempat menerusi pertanian dan penternakan selain meneruskan penyelesaian masalah prasarana asas.
“Kita akan menumpukan pembangunan pertanian moden seperti projek tanaman sayur hidroponik dan sebagainya termasuk penanaman pokok sagu serta penternakan kerbau dan udang laut secara komersial.
“Menariknya rakyat yang berminat menyertai usaha ini tidak perlu risau tentang dana mahu pun pasaran kerana segalanya akan diuruskan oleh pihak kami dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan.
“Ia termasuklah bekerjasama dengan beberapa koperasi setempat atau mewujudkan koperasi Agro Hub yang akan membeli semua hasil atau produk tanaman dan penternakan ini.
“Apa yang diperlukan cuma komitmen bagi memastikan semua usaha tidak sia-sia sekali gus mengangkat ekonomi masyarakat,” katanya ketika ditemui di Pelancaran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Beaufort Selatan baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Koko Malaysia (Sabah) Datuk Matbali Musah.
Ruslan yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata peluang itu diwujudkan kerana harga pasaran bagi semua komoditi berkenaan amat tinggi berikutan ia adalah keperluan harian.
“Kita juga akan menekankan amalan organik termasuk patuh syariah supaya semua produk pertanian dan penternakan itu mematuhi konsep halal, suci dan selamat.
“Selain produk sayuran harga pasaran bagi kerbau dan udang ketika ini amat lumayan termasuk sagu yang turut mendapat permintaan tinggi hingga harganya juga meningkat drastik.
“Namun pokok sagu sekarang semakin berkurang dan sebab itu kita akan menggalakan orang kampung untuk tanaman secara komersial agar bekalan sagu sentiasa mencukupi.
“Justeru ini adalah antara komitmen kita dalam maniesto GRS Lumadan yang akan dilancarkan dalam masa terdekat demi memperkasa ekonomi setempat selari dengan agenda ‘Lumadan Sejahtera’,” katanya.
Terdahulu, Ruslan yang juga Ketua Bahagian PBS Lumadan turut menerima penyertaan lebih 60 pengundi muda ke parti berkenaan di majlis itu.