Kota Kinabalu: Tuduhan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah “kerajaan paling gagal di dunia” disifatkan sebagai tindakan “meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri”.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, hakikatnya dua tahun awal pentadbiran GRS pada 2021–2022 terjejas kerana terpaksa menanggung kegagalan Bung selaku Menteri Kerja Raya Sabah ketika itu.
Beliau berkata tiada satu pun projek besar penstabilan bekalan air dimulakan sepanjang Bung menerajui JKR, termasuk dalam isu bekalan elektrik.
“Sebagai contoh, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata di Tawau hanya bermula pada Julai 2025 selepas ketiadaan Bung dalam JKR, begitu juga pelaksanaan naik taraf LRA Kogopon di Papar yang bermula pada Ogos 2023.
“Semua projek ini sudah lama dirancang. Jika beliau berfungsi sebagai menteri pada masa itu, projek-projek ini pasti dapat dimulakan lebih awal. Namun ia hanya bergerak selepas Datuk Ir Shahelmey Yahya menggantikan beliau.
“GRS juga merancang pelaksanaan LRA Balung II yang dijadual bermula pada 2026,” katanya dalam kenyataan, Rabu.
Bung, calon BN bagi kerusi Lamag, sebelum ini dalam satu ceramah melabelkan GRS sebagai “kerajaan paling gagal di dunia” dengan dakwaan gagal membangunkan kemajuan dan kesatuan di Sabah.
Bung dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri JKR Sabah pada Sept 2020 ketika BN bekerjasama dengan GRS membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri, namun digugurkan selepas mengetuai BN menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, melalui “Langkah Kinabalu” pada Jan 2023.
Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar, berkata tidak wajar GRS dipersalahkan dalam isu elektrik kerana kuasa kawal selia elektrik hanya diserahkan secara rasmi kepada Sabah pada 3 Jan 2024, selepas 41 tahun berada di bawah Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pula masih dikuasai secara majoriti oleh Kerajaan Pusat melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB), justeru tidak munasabah kesalahan itu diletakkan sepenuhnya kepada GRS.
“Semasa Bung menjadi Menteri Kerja Raya, walaupun elektrik bukan di bawah portfolio beliau, dua Ketua Umno Bahagian di Sabah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SESB oleh Menteri Tenaga dari Umno ketika itu melalui cadangan Bung sendiri.
“Persoalannya, apakah sumbangan dan pencapaian wakil Umno dalam SESB dan Menteri Tenaga Umno untuk menyelesaikan isu elektrik Sabah sedangkan kuasa berada di tangan mereka ketika itu?
“Ternyata wakil-wakil Umno ini gagal. Hakikatnya setelah Bung dan Umno tidak lagi berada dalam kerajaan negeri dan kuasa kawal selia diserahkan kepada GRS, banyak projek penstabilan bekalan elektrik mula dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata ia termasuk Projek Rangkaian Grid ke Pantai Timur Southern Link Fasa I yang bermula pada 2024, menunjukkan projek kepentingan rakyat hanya dapat digerakkan selepas Bung tidak lagi dalam pentadbiran negeri.
“Takdir menentukan Bung sebagai ‘Menteri Gagal’ keluar dari Kerajaan Negeri, sekali gus membolehkan banyak projek penstabilan air dan elektrik mula berjalan di Sabah,” tegasnya.