SEMPORNA: Seorang lelaki berusia 36 tahun dilaporkan hilang ketika menyelam semasa aktiviti memancing di perairan Pulau Bum-Bum.
Lagete Gildik dilaporkan hilang sekitar jam 7.15 malam pada Rabu ketika menyelam untuk menangkap ikan bersama rakan-rakannya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri menerima panggilan kecemasan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Semporna pada jam 9 pagi. Maritim Semporna memaklumkan seorang lelaki hilang ketika menyelam untuk menangkap ikan pada Rabu.
Pasukan Bomba dan Penyelamat kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas mengumpul maklumat mengenai mangsa.
Operasi tersebut dijalankan oleh tujuh anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Air Semporna dan turut disertai oleh Maritim, Angkatan Pertahanan Awam dan polis.
SAR dijalankan di kawasan mangsa dilaporkan hilang. Operasi itu ditangguhkan sementara pada jam 5 petang Khamis dan akan disambung semula pada pagi Jumaat.