TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kukusan Samsiah Usman berkata keupayaan wanita dalam mentadbir urus komuniti tidak boleh dipandang rendah, dengan mengatakan naratif hanya lelaki boleh jadi pemimpin tidak lagi relevan.
Ketua Wanita Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) itu ingin membuktikan kemampuan sebagai pemimpin yang boleh diharap rakyat untuk memperjuangkan isu-isu tempatan ke peringkat atasan untuk diberikan perhatian.
“Kalau dalam hubungan suami isteri, suara wanita akan diikuti oleh suaminya. Tetapi dalam kepimpinan organisasi seperti politik wanita nampak lebih tegas.
“Negara ini juga kini lebih terbuka dengan isu kesaksamaan gender,” katanya semasa menziarahi penduduk kampung di sekitar kawasan penempatan Airport Lama, Jalan Utara Baru di sini.
Ditanya mengenai menyeimbangkan masa bersama keluarga sepanjang berkempen, beliau bersyukur kerana suaminya amat memahami perjuangannya dan turut menemaninya turun berkempen terutama pada waktu malam.
“Tanggungjawab sebagai seorang isteri tetap dijalankan kerana walaupun sibuk dengan rutian harian turun padang menemui pelbagai rakyat namun saya masih ada masa bersama keluarga.
“Ramai juga yang berfikir wanita mungkin lemah tetapi dalam kewanitaan itu sebenarnya ada ketegasan yang boleh membawa kepimpinan jadi tidak ada masalah wanita untuk memimpin,” katanya.
Beliau turut akui cabaran yang dihadapinya kini apabila berhadapan dengan calon-calon berpengalaman seperti penyandang kerusi (Bebas), Parti Warisan dan Barisan Nasional namun percaya GRS berpeluang cerah untuk memenangkan Kukusan. Semuanya ergantung kepada rakyat sebab merekalah yang menentukan pemenangnya tetapi GRS bukan sekadar berjanji tetapi sudah banyak perkara berkaitan isu-isu rakyat yang berjaya diselesaikan,” katanya.
Tambahnya isu-isu rakyat terutamanya air, elektrik dan jalan disifatkan perlu diatasi secara serius oleh kerajaan kerana rakyat kini sudah celik teknologi maklumat dan bijak menilai sekali gus menuntut tindakan lanjut yang sewajarnya.