TAWAU: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberikan isyarat politik yang jelas kepada Putrajaya dan Perdana Menteri bahawa gerakan ‘meniup’ semangat patriotisme ‘Sabah Tanah Airku’ bukanlah ancaman untuk berpisah dari Malaysia tetapi mengembalikan pentadbiran Kerajaan Negeri melalui parti bercitrakan Sabah sepenuhnya.
Mohd Shafie berkata dalam masa sama langkah itu ditegaskan sebagai seruan Warisan membangkitkan kesedaran rakyat untuk lebih berani dan berperanan aktif dalam menentukan halatuju politik mengikut acuan tempatan secara menyeluruh tanpa dipisahkan oleh perbezaan agama atau kaum.
“Langkah ini untuk menyatupadukan rakyat melalui platform satu parti (Warisan) yang melibatkan pelbagai kaum. Kalau dahulu Parti Barisan Rakyat Jati Sabah (Berjaya) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) boleh mentadbir Sabah selama 20 tahun, kenapa Warisan tidak boleh?
“Pada masa itu juga pentadbiran kerajaan era Berjaya dan PBS bergabung dengan Kerajaan Persekutuan. Jadi kenapa Warisan tidak boleh bergabung dengan Kerajaan Persekutuan jika kita memerintah Sabah dengan konsep satu parti?,” katanya.
Advertisement





