Kota Kinabalu: Seorang guru Syariah yang baru dilantik sebagai Ketua Warden SMKA Tun Datu Mustapha memberitahu Mahkamah Koroner pada Isnin bahawa beliau tidak pasti sama ada pelantikanya sah.
Rezany Mohd Taupek, 45, yang menetap di kuarters warden di Blok D asrama sekolah berkata beliau kini menjalankan tugas sebagai ketua warden.
Namun beliau tidak pasti sama ada surat pelantikan terbarunya sah kerana ia dikeluarkan menggunakan kepala surat sekolah dan bukanya dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN).
Beliau berkata kesahihan pelantikanya akhirnya bergantung kepada pentadbiran sekolah.
Rezany menjelaskan bahawa sudah menjadi amalan lama sekolah untuk melantik guru sebagai warden asrama disebabkan kekurangan warden rasmi daripada JPN.
Beliau mengesahkan bahawa Cikgu Adzlee dan Cikgu Addorie bukan warden yang diiktiraf secara rasmi kerana pelantikan mereka tidak dikeluarkan oleh JPN.
Rezany turut menjalankan tugas warden tanpa menerima sebarang elaun tambahan.
Beliau berkata beliau menolak pelantikan rasmi JPN kerana menerima elaun warden akan menyebabkan elaun kediaman beliau ditarik balik yang secara ketara akan mengurangkan jumlah pendapatan keseluruhan.
Walaupun sekolah pernah menamakanya untuk pelantikan rasmi JPN beliau berkata beliau tidak pernah melihat sebarang surat kelulusan dari JPN yang mengesahkan perkara itu.
Rezany juga bersetuju bahawa selepas insiden Zara terdapat satu lagi kes buli melibatkan pelajar lelaki asrama dan pelajar yang terlibat telah digantung sekolah.
Beliau menolak cadangan bahawa keutamaan sekolah adalah untuk “melindungi imej sekolah dahulu” dan bukanya menjaga kebajikan Zara atau kepentingan keluarganya.
Inkues bersambung Selasa.