Kota Kinabalu: Ketua warden baharu SMKA Tun Datu Mustapha mengesahkan bahawa kumpulan-kumpulan seperti “Circle 19” masih wujud di sekolah itu meskipun berlaku insiden membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Rezany Mohd Taupek, 45, yang memulakan tugasnya pada Ogos tahun ini memberitahu Koroner bahawa pada pandangannya “circle” tersebut hanyalah kumpulan pelajar biasa.
Namun beliau gagal menjawab apabila ditanya sama ada beliau mempunyai kuasa untuk mengharamkanya.
Ketika disoal balas oleh peguam Datuk Ram Singh berlaku pertukaran dialog berikut:
Ram: Adakah mana-mana “circle” ini masih wujud di asrama?
Rezany: Pada saya “circle” ini hanya kumpulan biasa.
Ram: Jadi ia masih wujud?
Rezany: Ia masih wujud.
Ram: Bolehkah anda pergi ke sekolah besok dan hapuskan circle ini? Boleh? Kami di inkues juga mahu tahu. Haramkan?
Rezany: Saya tidak boleh jawab.
Ram: Ini menimbulkan keraguan terhadap peranan anda sebagai ketua warden kerana anda tidak boleh menyatakan sama ada anda boleh mengharamkan “Circle 19” atau mana-mana circle lain?
Rezany: Ia bergantung pada maksud “circle” yang dirujuk.
Ram: Bila anda kata bergantung circle apa yang anda maksudkan?
Rezany: Ia bergantung pada konteks. Ia hanya perkara biasa.
Ram: Sebagai ketua warden sejak Ogos adakah pelajar tingkatan satu mempunyai kumpulan seperti “Circle 19”?
Rezany: Saya tidak pasti.
Mengenai sistem in loco parentis Rezany berkata warden bertugas pada malam kejadian adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap penjagaan Zara.
Berkaitan sistem CCTV yang baru dipasang di asrama beliau mengesahkan monitor tidak disambungkan ke rumah mana-mana warden.
Ram: Jadi bagaimana kita pastikan walaupun ada CCTV tidak ada sesiapa yang sebenarnya memantau?
Rezany: Monitor diletakkan di bilik operasi warden.
Ram: Di mana itu?
Rezany: Satu di asrama lelaki dan satu di asrama perempuan.
Ram: CCTV berjalan 24 jam?
Rezany: Ya 24 jam.
Rezany bersetuju bahawa pelajar senior tidak seharusnya menangani isu disiplin atau masalah peribadi yang melibatkan pelajar tingkatan satu.
Beliau turut mengesahkan bahawa beliau memahami tanggungjawabnya berkaitan keselamatan dan kebajikan penghuni asrama dan sedar akan garis panduan sekolah yang menekankan pengesanan awal risiko, keselamatan emosi serta laporan segera.
Beliau juga mengakui bahawa warden diwajibkan melakukan rondaan malam dan pemeriksaan berkala.
Menjawab satu soalan Rezany berkata beliau mengesyaki Zara jatuh namun mengakui beliau tidak pasti.
Beliau menepuk pipi Zara tetapi tidak mendapat respon dan menyedari keadaan Zara serius selepas melihat kecederaannya.
Beliau menggambarkan dirinya berasa “bercampur-baur” dengan banyak persoalan bermain di fikiran serta rasa simpati.
Katanya beliau tidak terfikir untuk menghubungi ibu Zara serta-merta kerana fokus mereka ketika itu hanya pada Zara.
Beliau hanya menelefon ibu Zara pada jam 4.14 pagi selepas ambulans membawa Zara pergi.
Beliau memberitahu Koroner bahawa beliau melawat Zara di hospital pada 16 Julai jam 8 malam dan pada 17 Julai jam 3 petang.
Zara tidak sedarkan diri. Beliau turut berada di Wad Neurologi ketika prosedur menanggalkan tiub dilakukan.
Rezany bersetuju bahawa kejadian tersebut boleh dicegah dengan pemantauan yang lebih berkesan.
Mengenai isu jeriji tergantung yang dipasang di sepanjang koridor asrama dan boleh membahayakan pelajar beliau mengakui tidak pernah mengesyorkan penyingkiran atau penggantiannya kepada pihak pentadbiran sekolah.
Rezany turut bersetuju bahawa keselamatan dan kebajikan pelajar asrama merupakan tanggungjawab warden dan guru asrama termasuk dirinya sendiri.
Namun beliau enggan menjawab sama ada beliau atau warden lain telah cuai dalam melaksanakan tugas in loco parentis atau sama ada beliau boleh dipertanggungjawabkan atas kecuaian tersebut.