TAWAU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan ‘kunci Sabah’ tetap dipegang orang Sabah, bukannya Putrajaya, semasa era pentadbiran Kerajaan Negeri diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bekas Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri itu berkata ‘kunci Sabah’ tidak pernah berpindah tangan ketika era pentadbiran GRS disebabkan penentuan polisi atau dasar Kerajaan Negeri ditentukan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Itu tuduhan kem parti lawan, khususnya mereka yang bertanding 73 kerusi secara solo,” katanya mengulas dakwaan kononnya ‘kunci sebenar’ Kerajaan Negeri pimpinan GRS dipegang oleh Putrajaya.
Calon GRS kerusi Apas itu berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pertemuan bersama penyokong GRS di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Apas di Jalan Damai, di sini pada Ahad.
Nizam berkata Kerajaan GRS menekankan kestabilan dan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan, termasuk projek seperti peningkatan lapangan terbang Tawau dan projek perumahan baharu di bawah Program Residensi Rakyat (PRR).
Mengulas lanjut kerjasama erat dengan Putrajaya itu diperlukan untuk memastikan kestabilan pentadbiran dan melancarkan usaha pembangunan di Sabah termasuklah mendapatkan peruntukan yang diperlukan.
“Jika ada pihak yang mahu atau cuba memecahbelahkan hubungan baik kita dengan Kerajaan Persekutuan, lebih baik kita tolak jauh-jauh kerana kita tidak mahu mengulangi kesilapan yang lalu,” katanya.
Beliau berkata polisi Kerajaan Negeri pimpinan GRS adalah mengutamakan kerjasama dengan pemimpin-pemimpin yang memahami budaya tempatan, bukannya mereka yang memecahbelahkan perpaduan.
Menurutnya parti lawan juga pernah berpakat dengan parti asal Semenanjung menerusi Langkah Kinabalu walaupun kedua-dua pemimpin kem parti terlibat berdolak-dalih berkaitan pertemuan yang diadakan.
“Kesimpulannya, itu hanya cakap-cakap politik, tetapi sebenarnya mereka tidak ada kekuatan untuk bergerak solo dan akhirnya mereka juga mungkin akan bergabung dengan parti asal Semenanjung.
“Polisi GRS jelas untuk membangunkan Sabah dan harus mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan seperti kerjasama yang dijalin antara GRS dan PH dalam mentadbir Sabah,” katanya.