Tenom: “Saya bukan calang-calang walaupun masih muda,” tegas calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi Dun Melalap, Priscella Peter (gambar), menyatakan keyakinannya menghadapi saingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17.
Priscella berkata usia bukan ukuran dalam menentukan kemampuan seseorang memimpin, sebaliknya iltizam dan komitmen kepada rakyat menjadi asas utama dalam khidmat wakil rakyat.
Penglibatannya bersama komuniti setempat, katanya, memberinya pemahaman jelas mengenai keperluan dan permasalahan penduduk di kawasan berkenaan.
“Landskap politik kini menuntut lebih banyak penyertaan generasi muda yang berwibawa bagi memastikan suara mereka turut diterjemahkan dalam dasar pembangunan,” katanya ketika ditemui di PDM Saga, di sini.
Menurut Priscella, beliau turut yakin kekuatan kempen dan perjuangannya diperkukuh dengan meneruskan legasi bapanya, Datuk Peter Anthony, yang pernah menyandang kerusi Dun Melalap sebelum ia dikosongkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata asas perkhidmatan yang telah dibina bapanya menjadi landasan kukuh untuk beliau meneruskan kesinambungan pembangunan yang diharapkan penduduk.
Tambahnya, respons positif daripada masyarakat setempat meningkatkan keyakinannya bahawa pengundi menghargai usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang tempoh kempen.
Priscella optimis pengundi Melalap akan menilai calon berdasarkan kemampuan dan visi untuk membawa perubahan, bukan semata-mata faktor usia atau pengalaman.