LAHAD DATU: Sebuah blok rumah pekerja musnah dalam kebakaran di Kompleks Kembara Sakti, Jalan Felda Tambisan pada Rabu.
Bangunan kekal berukuran 80x30 kaki persegi itu musnah sepenuhnya dalam kejadian berkenaan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan jam 11.13 pagi dan mengerahkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu bersama sebuah jentera dan kenderaan EMRS.
Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Anjung Teduh turut berada di lokasi.
Sebaik tiba, pasukan melaporkan bahawa blok rumah pekerja tiga pintu itu sedang terbakar. Kedua-dua pasukan menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan aliran 200 kaki dengan dua pancutan.
Api berjaya dikawal jam 1.49 petang. Tiada kecederaan dilaporkan.
Operasi tamat jam 1.57 petang selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.