Kota Kinabalu: Perlumbaan Basikal Danum 2026 — “Ride the Unseen Borneo” anjuran bersama Borneo Nature Tours, Borneo Rainforest Lodge (BRL), dan Eventfinder KK yang dijadualkan diadakan pada 14 Februari 2026 bakal memberi peluang kepada peserta untuk menerokai Lembah Danum.
Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Nature Tours Sdn Bhd dan Inoprise Jungle Lodge Sdn Bhd, Freddie Coleman berkata dalam sidang akhbar pada Rabu bahawa perlumbaan itu bukan sekadar satu lagi acara berbasikal.
“Ini adalah cabaran ketahanan sejauh 88 kilometer yang membawa pelumba dari kawasan pantai Lahad Datu melalui laluan sukar di tepian belukar, dan akhirnya meredah salah satu hutan hujan paling murni di Bumi - Lembah Danum.
“Ini adalah landskap yang jarang orang dapat alami. Bagi kebanyakan penunggang, ia mungkin menjadi peluang pertama dan satu-satunya untuk melalui Hutan Hujan Dilindungi Kelas I — kawasan yang biasanya diakses hanya oleh saintis, pemuliharaan alam sekitar, penyelidik dan bilangan tetamu yang terhad.
“Berbasikal menawarkan gabungan unik pengembaraan, ketahanan dan mengenali alam sekitar. Ia menarik pelumba yang sukakan alam semula jadi, penerokaan dan tujuan - betul-betul apa yang diwakili oleh perlumbaan ini,” katanya.
Tambahnya, objektif penganjuran acara itu juga adalah untuk menghubungkan komuniti berbasikal dengan pemuliharaan alam sekitar.
“Aspirasi kami adalah untuk Perlumbaan Basikal Danum berkembang menjadi platform tahunan yang menyatukan sukan pengembaraan dengan penjagaan alam sekitar, meletakkan Sabah sebagai sebuah peneraju dalam pengembaraan eko dan pelancongan mampan.
“Setiap pelumba yang mengambil bahagian menyumbang secara langsung kepada inisiatif jangka panjang yang bermakna dalam Lembah Danum.
“Nombor satu ialah kajian tingkah laku dan ekologi Orangutan dengan Pusat Penyelidikan Orangutan Jepun yang berpangkalan di Borneo Rainforest Lodge.
“Nombor dua ialah penanaman semula hutan melalui pembelian dan penanaman anak pokok hutan hujan asli yang diperoleh daripada Infapro- Projek Pemulihan Hutan Hujan Yayasan Innoprise-Face di Sabah dan ketiga ialah pemantauan Bioakustik dan kajian mamalia malam di dalam Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum.”
Freddie turut melahirkan rasa terima kasih kepada Innoprise Corporation Sdn Bhd atas sokongan tidak berbelah bahagi terhadap usaha pemuliharaan Borneo Rainforest Lodge selama ini serta Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sabah, Pejabat Daerah Lahad Datu, Jabatan Perhutanan Sabah, dan Jawatankuasa Pengurusan Lembah Danum atas input mereka bagi membolehkan acara itu berlangsung, dan juga kepada semua penaja termasuk Smart Sabah Corporation Sdn Bhd, Khauf Engineering Sdn Bhd, Tanoa Enterprise, Sticky Rice Travel, Imago Shopping Mall dan Mee San Sdn Bhd.
Sementara itu, pengarah perlumbaan Event Finder Auther Kimon berkata perlumbaan yang akan mengambil masa kira-kira lima jam untuk disiapkan pelumba-pelumba terbaik itu dibuka kepada 200 slot sahaja dan setakat ini, mereka telah menerima kira-kira 100 penyertaan.
Menurutnya, pendaftaran boleh dilakukan di Ticket2U dan tiga pakej disediakan untuk peserta lelaki, wanita dan veteran.
Pakej A pada harga RM250 adalah untuk penyertaan sahaja. Pakej B dengan penginapan dua hari satu malam di BRL berharga RM769, manakala pakej C berharga RM1,238 akan mempunyai penginapan tiga hari dua malam di BRL.