LABUAN: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, diminta agar tidak memberi gambaran seolah-olah mengelak daripada memberi keterangan dalam perbicaraan skandal air membabitkan RM130 juta, yang dianggap antara skandal terbesar di Sabah dan mempunyai kaitan langsung dengan krisis bekalan air negeri itu.
Aktivis KDMR, George Elias berkata, sebagai seorang peguam dan Huguan Siou (ketua tertinggi adat), Pairin seharusnya menghormati undang-undang dan bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu menyelesaikan kes yang kini memasuki tahun kesembilan perbicaraan.
“Beliau perlu tampil membantu menutup kes ini,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah beberapa kali cuba menghubungi Pairin untuk memanggilnya memberi keterangan, namun gagal.
Peguam bela kepada tertuduh utama, bekas Pengarah Jabatan Air Sabah, Awang Tahir, turut memaklumkan perkara sama, selain menyatakan dua individu lain juga gagal dihubungi.
George berkata individu yang dipanggil untuk memberi keterangan tidak harus bermain ‘sorok-sorok’ daripada proses kehakiman.
Beliau bagaimanapun percaya perkara itu tidak disengajakan oleh Pairin dan berkata adalah demi kepentingan Pairin sendiri untuk tampil memberi kerjasama serta menjelaskan peranannya, jika ada, dalam skandal berkenaan ketika beliau memegang jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, memandangkan namanya disebut dalam prosiding mahkamah.
Dalam masa sama, George memuji bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Raymond Tan, yang hadir di mahkamah untuk memberi keterangan dalam kes berkenaan.