KENINGAU: Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun maut selepas ditembak sebanyak 14 das tembakan oleh rakannya menggunakan senapang buatan sendiri, dikenali sebagai bakakuk, ketika mereka bermain sorok-sorok di pekarangan sebuah rumah di Jalan Kem Pasukan Polis Hutan (PPH), di sini, kira-kira jam 8 pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Garai, berkata tiga individu telah ditahan bagi membantu siasatan, masing-masing seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang dipercayai melepaskan tembakan, seorang pesara yang disyaki pemilik senjata berkenaan, serta seorang lagi pelajar lelaki berusia 13 tahun yang kemudian menyembunyikan senjata tersebut.
Beliau berkata, lelaki warga emas itu merupakan bapa kepada kedua-dua remaja yang ditahan.
Kes itu terbongkar apabila seorang pegawai perubatan di Unit Kecemasan Hospital Keningau menerima pesakit dengan kesan tembakan dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia, sebelum satu laporan polis dibuat kira-kira jam 9.10 pagi.
Mangsa merupakan anak ke-10 daripada 12 beradik, selain rakan karib kepada suspek dan kerap bermalam di rumah suspek.
“Insiden berlaku di kawasan bekas perumahan polis di tapak Kem Pasukan Polis Hutan, Keningau.
“Pada kira-kira jam 8 pagi, suspek terlihat mangsa memegang bakakuk di hadapan sebuah rumah tanpa nombor. Suspek kemudian meminta senjata itu untuk bermain, tanpa menyedari ia mengandungi peluru hidup.
“Kedua-dua mereka bermain sorok-sorok, dengan mangsa bersembunyi di bawah rumah sebelum suspek secara tidak sengaja menarik picu, menyebabkan senjata itu tertembak,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Yampil, mangsa rebah serta-merta, menyebabkan suspek panik sebelum mendapatkan bantuan penduduk kampung yang melalui kawasan itu untuk membawa mangsa ke hospital.
Pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 8.40 pagi.
Pemeriksaan ke atas mayat mendapati terdapat 14 kesan tembakan, masing-masing lima di bahagian dada kanan, empat pada lengan kanan, dua pada lutut kanan dan tiga di bahagian kiri badan. Kesan kecederaan dipercayai daripada serpihan peluru bertaburan, namun jenis peluru penabur belum dikenal pasti.
Remaja ketiga yang ditahan merupakan saksi kejadian dan membantu menyembunyikan senjata berkenaan di dalam bilik tidur bapanya. Bagaimanapun, susulan arahan suspek, bakakuk itu berjaya ditemukan di lokasi biasa simpanan lelaki warga emas berkenaan.
Siasatan di lokasi kejadian mendapati suspek berada kira-kira tiga meter dari mangsa ketika tembakan dilepaskan. Dua serpihan peluru turut ditemukan berhampiran tompokan darah di tempat mangsa rebah.
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau dan bedah siasat dijadualkan dijalankan hari ini (Isnin) di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.