LAHAD DATU: Sebuah kapal nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana beroperasi di zon larangan sekali gus melanggar peraturan maritim.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata kapal tersebut dipintas pada jam 2.10 petang kira-kira 0.9 batu nautika di timur laut Pulau Batik semasa Op Pluto Timur dan Op Tiris.
“Kapal terbabit dikendalikan tiga lelaki warga Indonesia berusia antara 30 hingga 46 tahun serta seorang kru tempatan berusia 36 tahun.
“Kesemua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 1.5 batu nautika dari pantai sekali gus melanggar Akta Perikanan 1985,” katanya.
Beliau menyatakan kapal, kru serta hasil tangkapan dibawa ke Jeti Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
Sementara itu Dzulfikhar menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana kapal yang didapati melanggar syarat lesen selain menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang jenayah atau kecemasan maritim.