LAHAD DATU: Program Mystical Bayu 2025 bersedia memperkenalkan satu ruang baharu untuk menampilkan keindahan landskap serta kehidupan komuniti Lahad Datu khususnya di kawasan Segama menerusi lawatan suai kenal yang disusun khas untuk pelancong, pencipta kandungan dan pemain industri.
Program tiga hari anjuran Seri Borneo Resources dengan kerjasama KRA4 dan Tourism Malaysia itu bertujuan mengetengahkan keindahan semula jadi Segama, pengalaman budaya serta gaya hidup tempatan yang unik.
Pengarah Urusan Seri Borneo Mariati Uttok berkata inisiatif berkenaan dirangka sebagai satu siri berterusan yang bermula dengan Segama yang dilihatnya sebagai hab berpotensi besar untuk ekopelancongan.
“Segama dipilih kerana memiliki gua purba, pemandangan sungai yang indah serta potensi pembangunan homestay yang menepati model ekopelancongan berjaya.
“Kawasan sama turut menawarkan tarikan seperti Gua Tepadung, laluan semula jadi untuk aktiviti mendaki serta peluang sukan lasak termasuk tunggangan ATV sekali gus menjadi pilihan terbaik kepada pengunjung yang menggemari aktiviti luar.
“Kami berharap program ini dapat mendorong lebih ramai pihak berkepentingan tempatan untuk memajukan sektor homestay di Segama yang saya percaya mempunyai kualiti untuk berkembang seiring dengan destinasi pelancongan lain di Sabah.
“Menerusi program ini juga kita melihat para peserta bukan sahaja akan meneroka Segama malah turut diperkenalkan dengan kawasan sekitar termasuk Silam dengan edisi akan datang dirancang untuk diperluaskan ke Tungku bagi aktiviti seperti pemerhatian bintang dan pendakian,” katanya.
Mengulas lanjut Mariati berkata program terbabit bukan sekadar mempromosikan pelancongan malah turut bertujuan membimbing belia tempatan dengan kemahiran pengurusan acara dan pelancongan untuk generasi akan datang di Lahad Datu.
Beliau turut menyuarakan harapan agar Mystical Bayu 2025 dapat menggalakan lebih ramai golongan muda di Lahad Datu untuk terlibat dalam memperluaskan tawaran pelancongan daerah itu terutama acara yang berpotensi menembusi pasaran luar.
“Kami melihat program ini sebagai platform baharu yang memberi peluang kepada Lahad Datu untuk mengetengahkan kelebihanya sambil menggalakan pembangunan pelancongan di kawasan luar bandar sekitarnya,” katanya.