RANAU: Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin memaklumkan projek naiktaraf Jalan Kundasang–Kauluan–Pinausok dijangka siap pada bulan September 2026.
Menerusi hantaran terbaharunya di Facebook beliau berkata projek berkenaan yang melibatkan kerja naik taraf jalan sepanjang lapan kilometer mengikut spesifikasi JKR R2 serta pembinaan sebuah jambatan telah diluluskan pada 2020 dengan kos RM48.6 juta.
“Projek ini kini dalam fasa pembinaan dengan kemajuan fizikal mengikut jadual sehingga 31 Ogos 2025 pada kadar 23 peratus manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bertindak sebagai agensi pelaksana.
“Maklumat perkembangan projek kita perolehi menerusi jawapan kepada soalan berkaitan projek naik taraf Jalan Kundasang–Kundasang Lama–Kinaundusan–Semuruh–Pinausok dalam notis pertanyaan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen Ke-15 pada 2025,” katanya.
Dalam soalan lisan beliau Jonathan meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan bila kerajaan akan mengkaji untuk menaik taraf jalan tersebut.
Menurut beliau permohonan menaik taraf laluan berkenaan sudah lama dikemukakan memandangkan kepentinganya terhadap aktiviti ekonomi penduduk kampung serta perananya sebagai jalan alternatif apabila laluan utama mengalami kerosakan.
Hantaran Jonathan menerima pelbagai maklum balas netizen dengan sebahagian besar menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen terbabit kerana menyuarakan keperluan rakyat selain berterima kasih kepada kerajaan atas pelaksanaan pembangunan di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun terdapat juga pihak yang mempertikaikan prestasi JKR khususnya berhubung kemajuan fizikal projek yang masih pada tahap 23 peratus walaupun telah diluluskan sejak 2020.
Terdahulu Jalan Kundasang–Kauluan–Pinausok adalah antara laluan alternatif utama di Ranau yang digunakan penduduk setempat setiap hari dan menjadi laluan penting ketika berlaku tanah runtuh di sepanjang laluan utama Jalan Ranau–Kota Kinabalu.
Jalan berkenaan juga sering digunakan sebagai laluan alternatif untuk mengelakan kesesakan di laluan utama ketika musim perayaan namun keadaanya dilaporkan tidak memuaskan sejak sekian lama.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Kundasang Ranau Datuk Japiril Suhaimin baru-baru ini berkata isu tersebut telah dibangkitkan sejak 2015 namun masih belum menerima tindakan sewajarnya daripada pihak berkuasa.
Sehubungan itu beliau menggesa agar Lebuhraya Pan Borneo yang melalui daerah Ranau dibina segera memandangkan keperluanya yang mendesak.