LABUAN: Perbadanan Labuan (LC) wajar mempertimbangkan menggantung caj parkir awam selama setahun sebagai satu langkah kelegaan yang dialu-alukan ramai pihak yang kini terbeban dengan peningkatan kos sara hidup serta kemerosotan ekonomi setempat.
Tan Kiat Ting @ James yang pernah berkhidmat sebagai pegawai di Jabatan Perancangan Bandar Majlis Perbandaran Labuan (LMC) pada tahun 1986 berkata tidak mungkin langkah ihsan seumpama itu dilaksanakan kepada para pembayar cukai kerana boleh memberi kesan buruk yang ketara kepada kedudukan hasil.
“Sebaliknya kerugian dapat dikurangkan dan tiada lagi keperluan untuk menanggung kos penyelenggaraan perkhidmatan yang tinggi.
“Bagaimanapun kebanyakan pemandu bertanggungjawab sehingga tiada yang parkir sesuka hati atau halangan lalu lintas walaupun di jalan yang sesak,” katanya yang kini berhijrah ke Edmonton, Kanada namun sedang pulang bercuti singkat di kampung halamanya ketika ini.
Menerusi pemerhatianya Tan menyatakan tiada sebarang insiden berkaitan parkir dilaporkan apabila LMC pada akhir Oktober lalu mengumumkan penjualan kupon parkir dihentikan sementara waktu sekali gus menjadikan parkir percuma sehingga jualan disambung semula pada 18 November.
Menurutnya sistem tersebut mungkin sedang melalui proses naik taraf termasuk kemungkinan pelaksanaan kadar baharu.
Katanya caj parkir ketika ini ialah 50 sen untuk satu jam pertama dan 70 sen bagi jam berikutnya.
Tan menambah bukan suatu perkara luar biasa bagi pihak berkuasa tempatan untuk memberi kelonggaran kepada pembayar cukai ketika menghadapi waktu sukar dengan mengambil contoh diskaun kompaun dan pengecualian sewaan bagi premis milik majlis.