Kota Kinabalu: Sabah menyasarkan untuk mengorak langkah dalam sektor pelancongan sukan apabila negeri ini mempergiat usaha menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (Matta)
Sabah Mohd Azlan Saleh berkata pelancongan sukan akan menjadi satu bidang tumpuan yang menarik bagi Sabah.
“Kita merancang untuk menganjurkan Kejohanan Pickleball Antarabangsa dan menjemput pemain profesional serta dari luar negara bagi mempamerkan apa yang ditawarkan oleh Sabah.
“Matta juga akan menganjurkan dua Matta Fair pada tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung pada April dan Oktober sebahagian daripada usaha besar untuk meletakan Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam tahunan persatuan itu sambil menyatakan harapan agar lebih banyak aktiviti pickleball diadakan di Sabah susulan peningkatan populariti sukan tersebut di Sarawak.
Mengulas lanjut Mohd Azlan menyatakan Matta Sabah turut merancang menganjurkan Bazaar Matta yang akan mempamerkan produk pelancongan serta pakej-pakej percutian dipromosikan oleh ejen pelancongan mahupun pengendali pakej dari destinasi tumpuan di negeri ini.
“Pameran pelancongan itu akan diadakan bagi mempromosikan produk pelancongan dan pakej percutian Sabah di pusat-pusat beli-belah utama khususnya di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
“Pasaran antarabangsa pula kita sedang meneroka potensi untuk menarik pelancong dari Rusia ke Sabah susulan cadangan oleh Menteri Pelancongan Persekutuan Datuk Seri Tiong King Sing.
“Menteri menggalakan kami melihat pasaran Rusia. Langkawi kini sudah menjadi pulau yang popular dalam kalangan pelancong Rusia dan Matta Sabah percaya mereka juga boleh digalakan untuk melancong ke negeri ini,” katanya.
Sementara itu pelancongan domestik pula Mohd Azlan berkata Matta akan mempertingkatkan kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dalam usaha mempromosikan destinasi berasaskan komuniti di Kota Belud, Inanam, Manggatal, Keningau, Beaufort dan Membakut.
Beliau berkata ejen pelancongan akan “mengangkat” lokasi-lokasi terpilih di bawah satu kempen baharu untuk mempromosikan tarikan baharu di negeri ini.
“Terdapat begitu banyak destinasi menarik tahun depan termasuk pulau-pulau dan tapak selaman yang memukau di Semporna, ‘Tip of Borneo’ di Kudat, laluan arung jeram Sungai Padas serta tarikan pedalaman seperti di Tenom.
“Pembukaan semula Tanjung Simpang Mengayau (Tip of Borneo) yang ikonik di Kudat juga satu perkembangan yang amat tepat pada masanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambahnya.
Mohd Azlan juga menyatakan tapak pemuliharaan utama Sabah — Lembah Danum dan Lembangan Maliau yang menerima pengiktirafan daripada Majlis Pelancongan Mampan Global (GTSC) tahun ini akan terus menjadi teras kepada agenda promosi Matta.
Menurutnya Matta juga sedang mempertimbangkan untuk menganjurkan acara larian santai (fun run) sulung di Sabah yang akan turut merangkumi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Selain mempromosikan Sabah dan gaya hidup aktif kami juga mahu menerapkan elemen kelestarian seperti yang pernah kami lakukan sebelum ini melalui aktiviti pembersihan pantai di Tanjung Lipat,” katanya.