Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah yakin bahawa perjuangan menuntut hak perlembagaan negeri ini tidak akan sia-sia, kata Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menegaskan hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi pihak Kerajaan Sabah, saya ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Persatuan Undang-Undang Sabah. Keputusan ini merupakan pencapaian penting yang mencerminkan kejayaan usaha berterusan, konsisten dan bersepadu Sabah dalam mempertahankan hak negeri, selain kerjasama konstruktif dengan kerajaan Persekutuan,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Undangan Negeri.
Masidi, yang juga Timbalan Ketua Menteri II, berkata mesyuarat pertama Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas telah diadakan pada 17 Nov lalu.
Minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, memberi jaminan bahawa satu lagi mesyuarat akan diadakan menjelang pertengahan bulan depan berhubung pembayaran yang berhak diterima Sabah berdasarkan formula hasil 40 peratus.
“Sabah kekal yakin bahawa perjuangan menuntut hak perlembagaan negeri yang dilakukan oleh semua pihak tidak akan sia-sia.
“Tuntutan yang sah ini akan memberi manfaat besar kepada semua rakyat Sabah,” kata Masidi.