Kota Kinabalu: Sembilan individu pada Selasa dipenjara dan didenda kerana memasuki negeri ini secara haram serta tinggal selepas dokumen perjalanan mereka tamat tempoh.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain terhadap pertuduhan yang dihadapi.
Menerusi jumlah itu enam orang dijatuhi hukuman penjara empat bulan setiap seorang manakala dua lagi didenda RM3,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda kerana memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen sah.
Lapan daripada mereka terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia ditahan di lokasi berasingan di Ranau dan Tenom baru-baru ini selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah kepada pegawai Jabatan Imigresen semasa operasi dijalankan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 serta sebatan jika sabit kesalahan. Dua daripada tertuduh telah membayar denda yang dikenakan.
Sementara itu seorang lagi tertuduh warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana tinggal di negeri ini selepas dokumen perjalananya tamat tempoh.
Dia ditahan di kawasan Tenom selepas mengemukakan dokumen yang telah luput tempoh sahnya.
Dalam rayuan kesemua tertuduh memohon agar hukuman diringankan dan merayu supaya dihantar pulang ke negara asal secepat mungkin.
Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan dan selepas selesai menjalani hukuman mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.
Pegawai Pendakwa Chin Tze Mee dan Baxter Junior Goh dari Jabatan Imigresen hadir mewakili pihak pendakwaan.