Kota Kinabalu: Mahkamah Trafik pada Selasa mendenda seorang lelaki berusia 68 tahun sebanyak RM5,500 atau dua bulan penjara kerana memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa.
Umas B Kaling mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan memandu sebuah Proton X50 tanpa cermat dan berhati-hati di persimpangan Bataras Kolombong pada 21 Julai lalu kira-kira jam 7.46 malam.
Mengikut pertuduhan tindakan Umas telah menyebabkan satu kemalangan yang mengakibatkan kecederaan parah kepada seorang penunggang motosikal Ag Dahlan Sailim.
Kesalahan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 1999) memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan bahawa polis menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada jam 8.30 malam pada hari yang sama melibatkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Kolombong, bertentangan Pasar Raya Bataras.
Hasil siasatan mendapati Proton X50 yang dipandu Umas datang dari arah Taman Nelly dan sedang membelok ke kanan memasuki persimpangan sebelum dilanggar pada bahagian kiri oleh motosikal yang datang dari arah lampu isyarat Kolombong menuju ke Jalan Kota Kinabalu–Tuaran.
Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) dengan ambulans untuk rawatan lanjut menurut pendakwaan.
Siasatan penuh polis mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang memasuki persimpangan tanpa memberikan perhatian sewajarnya sekali gus menyebabkan perlanggaran dan kecederaan parah kepada penunggang motosikal.
Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu Umas diendors dengan butiran sabitan kes tersebut.