TAWAU: Seorang wanita berusia 57 tahun memfailkan tuntutan berjumlah RM40,645.50 terhadap sebuah syarikat kontraktor pembinaan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) selepas mendakwa rumahnya gagal disiapkan mengikut jadual yang dipersetujui.
Mea Monteseran dalam pernyataan tuntutanya berkata beliau melantik Sharon Tom Enterprise untuk membina rumahnya di Payang 1, Lahad Datu dengan kos keseluruhan RM146,000 dengan tempoh pembinaan ditetapkan selama enam bulan bermula 1 Jun 2024 hingga 1 November 2024.
Bagaimanapun beliau mendakwa rumah tersebut tidak disiapkan dalam tempoh yang dipersetujui walaupun beliau telah membayar sebanyak RM115,500 kepada syarikat berkenaan dalam tempoh tiga bulan kononya bagi pembelian jubin, cat, pintu dan bahan binaan lain yang sehingga kini tidak pernah diperoleh.
Mea berkata rumahnya dibiarkan terbengkalai selama satu tahun satu bulan walaupun pelbagai peluang telah diberikan kepada pihak kontraktor.
Menurutnya lagi selepas beberapa kali membuat tuntutan syarikat tersebut didakwa berjanji untuk menyiapkan rumah berkenaan dalam tempoh dua bulan iaitu dari 1 Ogos 2025 hingga 1 Oktober 2025 namun sekali lagi gagal berbuat demikian.
Beliau berkata dalam tempoh dua bulan itu beliau telah membayar baki RM34,500 selepas ditolak penalti RM15,200 bagi tempoh sembilan bulan yang dikira pada kadar RM50 sehari seperti yang diperuntukan dalam perjanjian sekiranya kontraktor gagal menyiapkan rumah dalam tempoh enam bulan.
Baki RM19,300 itu katanya digunakan untuk membeli bahan binaan bagi meneruskan pembinaan rumah berkenaan.
Sementara itu Presiden TTPM Sabah Larina Wong Shiao Yee pada Isnin menangguhkan kes tersebut ke 22 Januari 2026 bagi pendengaran kedua dan mengarahkan kedua-dua pihak iaitu penuntut dan responden mengemukakan pecahan tuntutan serta senarai saksi masing-masing.
Terdahulu pemilik syarikat Sharon Santi dan pembantu syarikat Albert Mangubot mempertikaikan jumlah tuntutan yang dikemukakan dengan alasan syarikat mereka berdepan masalah kewangan.
Pasangan suami isteri itu juga mendakwa mereka berniat untuk menyiapkan rumah penuntut namun menghadapi masalah apabila pekerja didakwa melarikan diri selain mendakwa penuntut kerap mengubah keputusan berkaitan pelan reka bentuk rumah.