Kota Kinabalu: Salah satu kelemahan berpanjangan Sabah dalam menuntut hak kewangannya berpunca daripada kegagalan pemimpin terdahulu bertindak secara jujur dan berani terhadap peruntukan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Berucap ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin, Adun Tambunan, Datuk Seri Jeffrey Kitingan (Star), senada dengan pandangan bekas Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Datuk Roger Chin pada Isnin lepas. Roger dilantik sebagai Adun Dilantik dalam sesi ini.
Jeffrey tidak menamakan pemimpin berkenaan, namun menggesa Kerajaan Negeri mewujudkan satu mekanisme baharu bagi menjamin kutipan dan pemulangan hak hasil 40 peratus Sabah.
Beliau berkata, Sabah perlu mempunyai sistem yang jelas untuk mengutip hasil yang diperoleh Kerajaan Persekutuan daripada Sabah dan memastikan pengagihannya mengikut nisbah 60:40.
Katanya, langkah itu penting bagi melindungi hak Perlembagaan negeri.
Sementara menunggu pewujudan mekanisme tersebut, Jeffrey mencadangkan supaya semua kutipan Persekutuan dari Sabah disalurkan ke dalam satu akaun bersepadu di Sabah, sebelum bahagian 40 peratus dikeluarkan dan diagihkan kepada negeri selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Menyentuh isu tunggakan dari 1974 hingga 2021 yang sering dirujuk sebagai “tahun-tahun yang hilang”, beliau berkata rundingan perlu diteruskan sehingga satu jumlah yang benar-benar mencerminkan hak 40 peratus dipersetujui, sambil menambah Kerajaan Persekutuan boleh, jika perlu, menyelesaikan sebahagian bayaran melalui pemindahan aset Persekutuan kepada Sabah.
Berhubung Belanjawan 2026, Jeffrey berkata unjuran hasil Sabah sebanyak RM6.43 bilion tidak seharusnya dianggap muktamad kerana ia perlu merangkumi peruntukan khusus bagi Pemberian Khas 40 peratus hasil bersih.
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memutuskan bahawa “40 peratus daripada semua hasil yang diperoleh Kerajaan Persekutuan dari Sabah mesti dipulangkan kepada Sabah”, selain memerintahkan kedua-dua kerajaan memuktamadkan rundingan jumlah bayaran dalam tempoh 180 hari bermula 17 Okt tahun ini.
Jeffrey berhujah bahawa hasil Sabah pada 2026 boleh melebihi RM30 bilion sekiranya semua hak Perlembagaan dipenuhi.
“Sabah berhak menerima jauh lebih besar daripada apa yang kini ditunjukkan dalam belanjawan,” katanya.
Beliau memperincikan anggaran itu dengan mengambil kira hasil semasa RM6.43 bilion, potensi Pemberian Khas 40 peratus di bawah Perkara 112C dan 112D yang boleh mencecah RM20 bilion, duti import dan eksais produk petroleum melebihi RM1 bilion, serta duti eksport minyak mentah sebagai ganti royalti yang dianggarkan sehingga RM3.6 bilion setahun.
“Walaupun Sabah sering dilabel sebagai negeri termiskin di Malaysia dan rakyatnya dikatakan miskin, hakikatnya Sabah dan rakyatnya sebenarnya kaya,” katanya, menambah negeri ini “dimiskinkan dan dipinggirkan, sebahagian besarnya oleh pemimpinnya sendiri”.
Beliau berkata kekayaan semula jadi Sabah, termasuk minyak dan gas, selain sektor baharu seperti pemuliharaan karbon, ekonomi hijau dan biru serta mineral nadir bumi, berpotensi melonjakkan ekonomi Sabah sehingga bukan saja mampu menyaingi Sarawak malah Singapura.
“Apa yang Singapura miliki ialah pentadbiran yang telus, profesional dan anti-rasuah,” katanya.
Jeffrey berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2024 menyatakan Kerajaan Persekutuan mengutip RM10.2 bilion dari Sabah pada 2023, namun mendakwa jumlah sebenar lebih tinggi berikutan kutipan Kastam yang kurang dilaporkan.
Katanya, jika tambahan RM1.3 bilion yang didakwa dikutip Kastam dimasukkan, jumlah hasil Persekutuan dari Sabah mencecah RM11.5 bilion, menjadikan bahagian 40 peratus Sabah sebanyak RM4.6 bilion, yang menurutnya “mesti menjadi jumlah minimum yang ditambah ke dalam Belanjawan 2026 oleh Menteri Kewangan”.
Jeffrey menambah, jumlah itu masih belum mengambil kira kutipan Persekutuan daripada syarikat minyak antarabangsa, Petronas, kumpulan perladangan besar di Sabah, serta hasil yang dipungut agensi Persekutuan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mengenai MA63, beliau berkata rundingan kini berada pada tahap kritikal, dengan isu akan datang termasuk pemilikan minyak dan gas, bayaran royalti, pelantar benua, sempadan maritim Sabah, duti setem hartanah, Pemberian Khas 40 peratus serta tuntutan 35 peratus perwakilan Parlimen untuk Sabah dan Sarawak sebagai perlindungan Perlembagaan.
Berhubung perwakilan Parlimen, beliau mencadangkan pendekatan lebih proaktif melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin Sabah dan Sarawak memiliki 35 peratus kerusi secara kekal, tanpa mengira pertambahan jumlah keseluruhan kawasan pilihan raya pada masa depan.
Beliau juga mencadangkan Sabah mencontohi Sarawak dengan menubuhkan jawatankuasa peringkat negeri bagi mengkaji dan mencadangkan persempadanan semula kerusi DUN, sebagai persediaan kepada pewujudan kerusi Parlimen baharu.
Jeffrey menegaskan bahawa beberapa perkara di bawah MA63 adalah hak mutlak Sabah dan “tidak boleh dirunding”, termasuk pemilikan pelantar benua sekiranya sempadan Sabah di bawah Perintah Dalam Majlis 1954 dan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dikekalkan.
“Jika pelantar benua milik Sabah, maka semua minyak dan gas di pelantar benua adalah milik Sabah dan bukannya Petronas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas Kabinet MA63 bagi mengurus dan melindungi hak Sabah, yang dianggotai secara dwipartisan oleh Adun daripada kerajaan dan pembangkang.