Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata cadangan oleh ahli-ahli dewan pembangkang untuk disertakan dalam jawatankuasa bipartisan mengenai isu 40 peratus bagi memperkukuh kedudukan rundingan negeri akan dirujuk kepada Kabinet Negeri untuk pertimbangan.
Beliau berkata perbincangan dengan kerajaan persekutuan kini dijalankan secara kerajaan-ke-kerajaan selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Seruan itu dibangkitkan oleh beberapa Adun pembangkang (Warisan), termasuk Adun Likas, Tham Yun Fook dan Adun Usukan, Isnaraissah Munirah Majilis, yang berkata penglibatan rentas parti akan menampilkan satu ‘front’ bersatu dan mengukuhkan kedudukan Sabah dalam rundingan.
“Tidak lagi perlu rundingan berpanjangan kerana kini hanya tinggal jumlah yang perlu dibayar. Saya bersetuju dengan itu. Namun, kami berharap rundingan dapat melibatkan jawatankuasa yang turut menyertakan kami dari pihak pembangkang, untuk menunjukkan kepada kerajaan persekutuan bahawa kami bersatu dan bercakap dengan satu suara dalam tuntutan ini,” kata Tham.
Adun Usukan, Isnaraissah Munirah Majilis, sependapat, berkata pihak pembangkang kemudiannya akan mengetahui apa yang sedang dirundingkan dan boleh mencapai persetujuan bersama.
Beliau mencadangkan jawatankuasa itu ditubuhkan dengan segera kerana isu ini bukan soal politik pembangkang tetapi mengenai Sabah secara keseluruhan.
Pada Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Sabah secara perlembagaan berhak terhadap 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari negeri itu, memerintakan kedua-dua kerajaan menjalankan semakan 90 hari untuk menentukan jumlah yang perlu dibayar, diikuti tempoh 180 hari untuk memuktamadkan pelaksanaan.
Secara berasingan, Ahli Dewan Undangan Negeri yang Dicalonkan, Datuk Roger Chin, mencadangkan usul pindaan perlembagaan untuk membolehkan Sabah mengutip hasil secara langsung, meletakkannya dalam dana terkumpul, menyerahkan 60 peratus kepada kerajaan persekutuan dan mengekalkan baki 40 peratuys, sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengelakkan pertikaian serupa di masa hadapan.
“Ia pindaan yang mudah, tetapi Dewan mesti meluluskan usul tersebut dan memutuskan bagaimana untuk meneruskannya. Sekurang-kurangnya, ia menunjukkan betapa seriusnya kita dalam menyelesaikan isu ini supaya persoalan ‘berapa banyak yang terhutang’ tidak terus timbul,” kata Chin.