Kota Kinabalu: Dua cawangan kedai farmasi milik sebuah syarikat didenda RM1,500 setiap satu kerana menjual produk tidak berdaftar.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah cawangan-cawangan kepunyaan ALPRO Alliance (Sabah) Sdn. Bhd mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.
Bagi cawangan pertama, syarikat itu didapati menjual satu produk tidak berdaftar iaitu sekotak Triticum Aestivum Wheatgrass (30 sachet) 3g pada 26 Julai 2023, jam 11 pagi di Taman Che Mei Shophouse, Jalan Penampang.
Bagi cawangan kedua, syarikat berkenaan didapati menjual produk yang sama pada hari sama di One Place Mall @ Putatan Square, Putatan.
Syarikat itu melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Penjualan Dadah 1952.
Hukuman bagi kesalahan ini adalah denda tidak melebihi RM50,000 dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.