Nama Affan Affandy Sazali semakin dikenali dalam arena sukan bina badan tempatan dan kebangsaan apabila atlet kelahiran Sabah itu berjaya mencatatkan pelbagai pencapaian membanggakan sepanjang penglibatannya dalam sukan tersebut sejak tahun 2017.
Affan mula menjejakkan kaki ke pentas pertandingan secara serius pada tahun 2017 apabila dinobatkan sebagai johan Mr Tamu Gadang UMS.
Pada tahun yang sama, dia turut mencipta kejayaan apabila muncul sebagai finalis tempat kelima dalam pertandingan Bina Badan & Physique Mr Borneo serta meraih gelaran naib juara dalam Mr Crocker Range Body Smart.
Pencapaian awal ini menjadi pemangkin semangat untuk dia terus konsisten dalam dunia bina badan.
Momentum tersebut diteruskan pada tahun 2018 apabila Affan sekali lagi membuktikan keupayaannya dengan meraih naib juara dalam Mr Crocker Range dan muncul menduduki tempat keempat dalam Mr Borneo.
Pada tahun 2019 pula, dia mengekalkan prestasi dengan berada dalam kelompok 10 terbaik bagi pertandingan Mr Crocker Range dan Mr Borneo, sekali gus membuktikan konsistensi dalam sukan yang menuntut disiplin tinggi ini.
Selepas beberapa tahun berdepan pelbagai cabaran, Affan kembali ke pentas pertandingan pada tahun 2023 dengan menyertai Mr Borneo, walaupun ketika itu dia tidak memperoleh sebarang kedudukan. Namun, pengalaman tersebut tidak mematahkan semangatnya.
Sebaliknya, tahun 2024 menjadi titik kebangkitan buatnya apabila berjaya berada dalam kelompok 10 terbaik Mr Sabah, menduduki tempat kelapan dalam WFF Borneo Grand Prix, meraih tempat ketiga dalam Mr Merdeka dan seterusnya menamatkan Mr Borneo di tempat keempat.
Tahun 2025 mencatatkan sejarah paling manis dalam kerjaya Affan apabila dia mencapai kemuncak prestasi.
Affan meraih tempat ketiga dalam Mr Enrich Borneo sebelum dinobatkan sebagai juara keseluruhan Mr Crocker Range.
Kejayaan luar biasa diteruskan dalam Mr Sabah apabila Affan bukan sahaja muncul sebagai johan kategori middle weight, malah turut menjuarai kategori Athletic Physique lelaki dan seterusnya dinobatkan sebagai Juara Antara Juara.
Kejayaan tersebut membuka laluan untuk Affan mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan, di mana dia berjaya muncul sebagai johan kategori Sport Physique lelaki dalam pertandingan Mr Malaysia.
Tidak terhenti di situ, Affan turut menjuarai kategori Sport Physique lelaki dalam Mr Borneo pada tahun yang sama.
Pencapaian terbesar Affan setakat ini adalah apabila dia berpeluang mewakili negeri Sabah ke pertandingan Mr Malaysia dan seterusnya berjaya meraih gelaran juara dalam kategori Men Sport Physique, sekali gus mengharumkan nama negeri di persada kebangsaan.
Mengulas mengenai harapannya pada masa akan datang, Affan menyatakan hasrat besar untuk terus melangkah lebih jauh dengan mewakili Malaysia ke Kejohanan Mr Asia.
Dia turut berharap agar sukan bina badan di daerah Tambunan dapat terus berkembang dan menerima sokongan padu daripada pihak-pihak tertinggi, kepimpinan atasan serta pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan.
Selain itu, Affan juga berharap agar Majlis Tertinggi Daerah Tambunan dapat memberikan perhatian dan sokongan bagi membantu pembangunan sukan ini di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, Affan turut menyeru golongan muda agar melihat sukan bina badan dari sudut yang lebih luas dan positif.
Menurutnya, bina badan bukan sekadar mengangkat berat atau membesarkan otot, sebaliknya merupakan sukan yang membina disiplin diri, kekuatan mental dan gaya hidup sihat.
Sukan ini, menurutnya, mengajar kepentingan menjaga pemakanan, menghormati tubuh badan serta berusaha secara konsisten. Selain membina keyakinan diri, penjagaan kesihatan yang baik juga menjadikan seseorang itu bukan sahaja kuat dari segi fizikal, malah lebih kukuh dari sudut emosi dan mental.
Tegasnya, kehadiran ke gimnasium tidak semestinya untuk menjadi atlet pertandingan, sebaliknya demi membina tubuh yang sihat, cergas serta minda yang seimbang.
Sepanjang penglibatannya dalam pertandingan, Affan mengakui berdepan pelbagai cabaran.
Antara cabaran terbesar ialah ketika berada dalam fasa diet yang ketat, di mana setiap pengambilan makanan perlu dikawal sepenuhnya.
Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila beliau membawa isteri dan anak-anak makan di restoran, sedangkan dia terpaksa membawa bekalan makanan khas yang disediakan dari rumah.
Selain itu, cabaran dari segi mental dan fizikal turut menguji ketahanan diri, khususnya ketika tubuh berada dalam keadaan kekurangan tenaga semasa fasa diet.
Faktor kos juga menjadi cabaran besar memandangkan perbelanjaan makanan khas dan suplemen untuk sukan bina badan adalah tinggi, memaksa atlet mencari dana tambahan demi memastikan persiapan pertandingan berjalan lancar.
Sebagai tanda penghargaan, Affan merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong perjalanan kariernya dalam sukan bina badan.
Dia merakamkan penghargaan khusus kepada penaja utama, Pak Kopi cawangan UUC Telipok, serta penaja lain termasuk Restaurant Javanese, PWR Star Tambunan, Kereta Sewa Healing Kita dan rakan-rakan gimnasium yang banyak membantu dari segi sumbangan kewangan dan sokongan moral.
Tidak dilupakan, Affan turut menzahirkan penghargaan kepada isteri dan adiknya yang sentiasa memberi sokongan padu sepanjang penglibatannya dalam sukan bina badan ini.