BEAUFORT: Sepasang suami isteri maut manakala anak perempuan mereka terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Ford Ranger mereka terbabas sendiri di Jalan Kuala Penyu–Bandau, dekat Pantai Pimping, petang Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, mangsa, Christin Paun, 50, dan isterinya, Marlyne Gumin, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Anak mereka, Carletta Christin, 8, hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Wong Leong Meng, mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Christin memandu dari arah Kuala Penyu menuju ke Bandau.
“Apabila tiba di lokasi kejadian di kawasan Pantai Pimping, kenderaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik ke dalam parit di sebelah kiri jalan,” katanya.
Menurut Wong, Christin merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, manakala isterinya bekerja sebagai pekerja pembersihan di sekolah sama. Ketiga-tiga mereka berasal dari Kampung Mandahan, Papar.
Anak mangsa yang cedera ringan telah dibawa ke Hospital Kuala Penyu untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala usaha mengesan dan memaklumkan ahli keluarga terdekat sedang dijalankan.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar dengan ambulans ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk tujuan bedah siasat, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Wong menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dengan berhemah, tidak memandu laju atau tergesa-gesa serta mengelakkan memotong kenderaan lain secara berbahaya bagi mengelakkan kemalangan.