Persatuan Majikan Buruh Asing Malaysia (Pemaba) menyahut seruan Kerajaan Negeri bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan strategik melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tempatan bagi menyokong pembangunan ekonomi dan sosial Sabah.
Presidennya Yacob Gabriel Samson berkata pihaknya memandang serius gesaan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor agar TVET dijadikan pilihan utama rakyat Sabah dalam membina kerjaya yang mampan dan berdaya saing.
“Kami sebagai majikan mahu membantu membekalkan pekerja berkualiti dan berkemahiran kepada pelbagai industri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan sosial negeri ini.
“Sehubungan itu Pemaba merancang menubuhkan Akademi Mini TVET di Penampang dengan memberi fokus kepada peningkatan kemahiran kumpulan sasaran termasuk wanita, belia, komuniti terpinggir dan golongan B40.
Advertisement





