Kota Kinabalu: Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Datuk Jasni Matlani menyatakan pihaknya menyokong penuh usaha untuk menolak pengiktirafan Ujian Pencapaian Khas (UEC) yang sering dipertikaikan berikutan bercanggah dengan sistem pendidikan negara.
Beliau berkata usaha untuk mengiktiraf UEC itu adalah tidak selaras dengan pelaksanaan dasar pendidikan nasional yang berlandaskan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara dan hal ini telah menimbulkan kebimbangan terhadap perpaduan nasional.
“Pengiktirafan UEC mencetuskan perpecahan dan kekeliruan dalam sistem pendidikan yang seharusnya memupuk keharmonian dan kesatuan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Dasar Pendidikan Kebangsaan wajib dipertahankan sebagai wahana pembinaan jati diri, perpaduan dan kedaulatan negara.
“Kita seharusnya memikirkan kesan jangka panjang terhadap generasi akan datang jika UEC ini diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat agung Gapena dan penyampaian Anugerah sempena sambutan 55 Tahun Gapena yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu Jasni yang juga Penerima SEA Write Award Malaysia 2015 turut menekankan komitmen Bahasa bagi terus mempromosikan penggunaan bahasa kebangsaan bagi memperkukuhkan sastera tempatan negara ini.
“Hal ini perlu bagi mendapatkan sokongan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan terutama dalam menekankan kepentingan pendidikan berteraskan nilai perpaduan.
“Bahasa seterusnya akan memantau perkembangan isu ini dan menyampaikan pandangan rakyat demi masa depan pendidikan keseluruhannya,” ujarnya.