BEAUFORT: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan Datuk Ruslan Muharam memperuntukan RM20,000 bagi tujuan sumbangan sempena Krismas sempena Majlis Sentuhan Kasih.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Penternakan dan Industri Makanan berkata peruntukan di bawah Adun Lumadan itu diagihkan kepada gereja dan pemimpin agama serta golongan B40 di kawasan itu.
Menurutnya program seumpama itu merupakan acara tahunan pihaknya sejak enam tahun lalu bagi berkongsi keceriaan sempena perayaan tersebut.
“Peruntukan ini disalurkan untuk empat buah gereja termasuk pendeta dan pemimpin rumah ibadat mereka serta bantuan untuk golongan B40 dan pemimpin akar umbi yang menyambut perayaan ini.
“Kita juga memberikan hamper dan barangan dapur kepada 302 ketua isi rumah (KIR) dari golongan kurang berkemampuan bagi meringankan beban serta memberi keceriaan kepada mereka,” katanya pada Ahad.
Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (Sabah) Datuk Matbali Musah.
Dalam pada itu Matbali yang ditemui berkata sebanyak RM50,000 diperuntukan pihaknya di bawah peruntukan parlimen untuk sumbangan kepada 51 buah gereja di seluruh kawasan parlimen Sipitang.
Katanya selain merupakan program tahunan pihaknya turut menyalurkan sumbangan untuk majlis-majlis sempena Krismas yang diadakan pemimpin akar umbi di kawasan itu.
“Sumbangan seumpama ini bukan saja sempena Krismas tetapi juga dilaksanakan untuk perayaan lain seperti Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri kerana Sabah adalah wilayah yang unik.
“Justeru diharapkan sumbangan sempena Krismas ini dapat memberi keceriaan kepada masyarakat yang menyambut seterusnya mengekalkan keharmonian sesama kita,” katanya.