TAMBUNAN: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) menyifatkan pencapaian Kampung Kuyungon sebagai antara kampung paling progresif di daerah Tambunan perlu menjadi contoh buat kampung-kampung lain di negeri ini.
Menterinya Datuk Jamawi Jaafar berkata Antara kejayaan yang dicapai termasuk menjadi kampung pertama di Tambunan yang membangunkan Protokol Komuniti serta kampung rujukan kebudayaan rasmi untuk generasi akan datang menerusi kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Selain itu kampung ini juga berjaya membangunkan rangkaian jungle trail terpanjang dan terbanyak di Tambunan di samping mewujudkan pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) serta pembangunan Community Agribusiness.
“Penduduk Kampung Kuyungon juga telah melaksanakan konsep kebun dapur sebagai usaha menyokong kelangsungan bekalan makanan di peringkat isi rumah.
“Kebun dapur juga merupakan antara tiga inisiatif baharu kementerian bagi memperkasakan sektor pertanian komuniti.
“Memperkasakan Program Kebun Dapur dijangka dapat meningkatkan hasil pertanian serta penglibatan masyarakat daripada pelbagai lapisan dalam sektor pertanian ke arah merealisasikan keterjaminan makanan.
“Program berkenaan berkonsepkan penghasilan tanaman, perikanan dan ternakan berskala kecil bergantung kepada kesesuaian kawasan serta keupayaan isi rumah selain memberi tumpuan kepada penglibatan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Akhir Projek Pemeliharaan Hutan Kawasan Tadahan Air dan Memperkasakan Pertanian Kelestarian Kampung Kuyungon pada Ahad.
Dalam pada itu Jamawi berkata kementerianya akan meneruskan pembangunan tanaman makanan serta penternakan menerusi pelaksanaan program berimpak tinggi yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat seterusnya memperkukuhkan keterjaminan makanan di negeri ini.
Menurut beliau usaha berterusan melalui Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan diyakini dapat meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah secara menyeluruh.
Sementara itu beliau turut menyatakan inisiatif kedua ialah Program Mentor Mentee Pertanian yang dirangka oleh kementerian melalui sebagai pendekatan mengenal pasti golongan muda yang aktif dalam bidang pertanian bagi membimbing generasi seterusnya menceburi sektor itu manakala nisiatif ketiga melibatkan penglibatan usahawan industri makanan dalam ekonomi digital bagi meluaskan pasaran dan meningkatkan pendapatan pengusaha selaras dengan perkembangan semasa.