SANDAKAN: Penganjuran program budaya yang melibatkan belia di daerah ini dilihat wajar sekaligus dapat memastikan tradisi yang diwarisi tidak dilupakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa, berkata, justeru, penganjuran program berkaitan seperti malam budaya dilihat bertepatan.
Ia khasnya dalam mempromosi kebudayaan yang ada di daerah ini kepada masyarakat dan pelancong selain menjana ekonomi setempat.
“Kita melihat program seumpama yang melibatkan penglibatan aktif kalangan belia dan pelbagai persatuan etnik serta yang lain di sini mampu menarik pelancong serta eko pelancongan,” ujarnya.
“Selain itu, ia juga memastikan budaya yang diwarisi tidak dilupakan,” jelasnya.
Justeru, adalah wajar jika program seperti itu dapat dimasukkan dalam kalendar pelancongan daerah ini sebagai nilai tambah kepada program yang lain sesuai dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus merasmikan The Culture Night 2025 yang julung kali diadakan di Jalan Lebuh Dua, Bandar Sandakan, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Kelab Belia Taman Sejati Ujana Merangkap Pengerusi Pelaksana The Culture 2025, Aidi Putra Hamdan, Pengarah Program, Afnan Syuwari.
Program sehari itu turut diisi dengan beberapa acara antaranya pameran etnik, kenderaan, pertandingan tarian etnik, pertunjukan bunga api, persembahan wakil etnik yang terlibat serta artis jemputan, Zuana Zulmat, Den Bisa dan Tuni Sundatang. Program anjuran Kelab Belia Taman Sejati Ujana dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) itu juga mendapat sokongan daripada Motac.
Terdahulu, berucap pada majlis itu, Hazem memuji penganjuran program itu yang juga menghimpunkan komuniti setempat dan belia yang mempamerkan budaya yang unik di daerah ini.
Manakala Aidi Putra merakam penghargaan kepada Motac, MPS dan semua pihak terlibat atas kerjasama padu menjayakan acara itu. Antara lain, jelasnya, program ini bertujuan mengangkat budaya dan mempromosi keunikan Sandakan.
Ia juga memberi peluang kepada penglibatan belia untuk mengembangkan bakat mereka serta mempamerkan tradisi dan budaya etnik setempat.