Kota Kinabalu: Seorang wanita warga Filipina berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembersih sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Isnin atas pertuduhan menyerang teman lelakinya menggunakan sebilah pisau.
Tertuduh Jolly An Regencia Baguinat mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang lelaki Harmin Faisal menggunakan senjata berbahaya antara jam 1 pagi hingga 2 pagi pada 4 Disember lalu di dalam sebuah unit di Pangsapuri Cybercity.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 24 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin sementara menunggu tarikh berkenaan.
Dalam kes berasingan seorang wanita berusia 38 tahun dikenakan denda kerana terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.
Tertuduh Norrizah Jaimi mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada jam 4 petang, 12 Disember lalu di Inanam New Township, Jalan Kionsom, Inanam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu pihak pendakwaan bahawa sepasukan polis telah menyerbu lokasi berkenaan dan menahan tertuduh yang kemudianya mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut.
Polis turut merampas peralatan perjudian daripada tertuduh.
Laporan pakar perjudian mendapati hasil analisis terhadap barangan rampasan menunjukan ia merupakan peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.