Kota Kinabalu: Atlet gimnastik negeri pulang dengan satu pingat emas, satu perak dan enam gangsa pada Kejohanan Gimnastik Kebangsaan yang diadakan di Bukit Jalil dari 19 hingga 20 Disember lalu.
Pingat emas tunggal dimenangi oleh pasukan senior lelaki yang terdiri daripada Addison Chang Sui Xin, Evan Emmanuel Walter, Lucas Immanuel Rijoh, Mohd Zaer Zabidi Harman, Tyler Jordan Lajanty dan Leevan Savahi Moosom.
Addison juga membawa pulang pingat perak dalam acara vault individu selain dua pingat gangsa dalam acara lantai dan all-round individu.
Pingat gangsa lain dimenangi oleh Jewel Sinuau Jason Majalang dan Rissy Sandrina Ridin dalam acara all-round individu pra-junior wanita, Lucas Immanuel dalam acara all-round individu senior lelaki dan pasukan senior wanita.
Ketua jurulatih negeri merangkap jurulatih wanita Liew Tong Ee, yang juga delegasi teknikal pasukan berkata kontinjen negeri diketuai oleh pengurus pasukan, Marilyn Bu Seong.
Hakim-hakim bagi pasukan ialah Charlie Richie Chong, Brandon Denoley Luise, Winson Siau, Felicity Grace, A-Nor Suhada, Siti Noorsuhana dan Nur Aqilah Nadhirah, manakala jurulatih lain ialah Abd Izzat Daniel Abd Rauf, Noorineh @Noraini Jamlan, Azri Omar dan Mohd Zamri Din.
Liew turut menyampaikan penghargaan kepada Majlis Sukan Sabah, Lembaga Sukan Sabah dan ibu bapa atas sokongan mereka.