Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah membentangkan lima cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) berhubung isu Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (RMSMJ) yang tidak diduduki setelah siap dibina.
Pengarah SPRM Sabah Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata cadangan pertama ialah menambahbaik butiran kriteria penerima seperti menetapkan pemohon mestilah Ketua Isi Rumah (KIR); mewajibkan pemilik rumah daif yang telah diluluskan permohonan untuk merobohkan rumah usang setelah rumah baru siap dibina; menolak permohonan sekiranya pemohon mempunyai sumber pendapatan dan tidak dibenarkan menukar hak milik RMSMJ kepada orang lain kecuali KIR telah meninggal dunia serta hak milik dipindah kepada pewaris.
Cadangan kedua, katanya, adalah mewujudkan satu mekanisme pemantauan sebelum, semasa dan selepas pembinaan RMSMJ manakala cadangan ketiga adalah wujudkan borang permohonan RMSMJ.
“Ini termasuk memasukkan klausa Peringatan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 di dalam borang permohonan RMSMJ.
“Cadangan kelima adalah memberi taklimat atau kefahaman berkaitan garis panduan RMSMJ kepada pihak yang terlibat dalam program ini,” katanya.
Mohd Fuad berkata demikian ketika menyampaikan kesemua syor itu kepada KPLB dan disambut baik oleh Setiausaha Tetap KPLB Sabah Datuk Myrna Jimenez dalam sesi pembentangan yang diadakan di pejabat KPLB di sini, baru-baru ini.
Mohd Fuad berkata berkata cadangan penambahbaikan itu adalah berdasarkan hasil siasatan awal oleh SPRM Sabah yang diterima menyatakan terdapat penerima bantuan rumah dalam program RMSMJ tidak tinggal di rumah terbabit dan disewakan kepada orang lain.
Sementara itu, Myrna yang menyambut baik cadangan itu dan berkata KPLDB akan mengambil tindakan bagi menambahbaik kelemahan yang dicadangkan oleh SPRM Sabah.
Turut hadir Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah Hamsia Abdul Ham dan wakil Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah Mohd Jamri Ag Damit.