SANDAKAN: Kebocoran paip air bawah tanah di jalan masuk Perumahan Astana Height mencetuskan kebimbangan penduduk setempat susulan aliran air yang berterusan keluar dari bawah permukaan jalan.
Susulan aduan penduduk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Elopura Calvin Chong telah turun padang bagi meninjau sendiri keadaan di lokasi kejadian bersama Adun Tanjung Papat Alex Thien.
Hasil pemerhatian di lokasi mendapati kebocoran berkenaan melibatkan air mentah iaitu air belum melalui proses rawatan yang mengalir keluar secara berterusan dari bawah permukaan jalan.
Menurut Calvin kebocoran paip air bawah tanah itu bukan sahaja menyebabkan pembaziran sumber air dalam skala besar malah berpotensi menimbulkan pelbagai masalah lain termasuk kerosakan struktur jalan, mendapan tanah serta risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.
“Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan ia boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kos penyelenggaraan infrastruktur awam serta menjejaskan keselamatan orang ramai,” katanya.
Sehubungan itu beliau menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) selaku pihak berkuasa berkaitan air agar mengambil tindakan segera bagi membaiki serta menggantikan paip air bawah tanah yang telah rosak.
Beliau menegaskan bahawa kerja-kerja pembaikan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan sekadar bersifat sementara bagi memastikan masalah kebocoran tidak berulang pada masa hadapan.
Selain itu Calvin turut menekankan keperluan pihak teknikal dan juruteknik Jans untuk bersikap lebih proaktif termasuk meningkatkan pemantauan berkala, menjalankan pemeriksaan awal terhadap paip-paip lama serta bertindak pantas sebaik sahaja aduan diterima.
“Pendekatan proaktif ini penting bagi mengelakan pembaziran air berterusan serta mengurangkan kerosakan terhadap permukaan jalan dan infrastruktur awam yang lain,” katanya.
Tambah beliau kebocoran air mentah yang dibiarkan berpanjangan bukan sahaja merugikan dari sudut sumber dan kewangan malah bercanggah dengan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan air yang cekap dan mampan.
Sebagai wakil rakyat kawasan Elopura beliau menegaskan komitmenya untuk terus memantau perkembangan isu tersebut dan memastikan pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya demi kepentingan serta keselamatan rakyat.
Beliau juga mengalu-alukan maklum balas dan aduan daripada orang ramai agar sebarang masalah berkaitan bekalan air dan infrastruktur dapat disalurkan dan diselesaikan dengan lebih cepat serta berkesan.